Terbaharu, pihak kerajaan dan beberapa ahli politik telah mencadangkan agar hukuman mati yang masih wujud dalam sistem undang-undang negara kita dimansuhkan.

Cadangan ini ada benarnya jika dilihat kepada ruang untuk hidup yang wajar diberikan kepada manusia, sama ada mereka adalah seorang penjenayah atau tidak. Apatah lagi dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah sekalipun, jenayah yang sama tetap berlaku juga.

Bagaimanapun, ada pula sudut pandangan yang lain. Sesetengah orang berpandangan hukuman mati wajar dikekalkan kerana ia adalah salah satu cara untuk mengurangkan kejadian jenayah. Hukuman mati itu sendiri sudah cukup menggerunkan bagi mengelakkan orang lain terlibat dalam jenayah yang sama.

Sama ada pandangan yang menyokong pemansuhan hukuman mati adalah lebih rasional atau pandangan kedua yang lebih wajar, ia pada akhirnya terletak kepada apa yang sebenarnya kita mahukan dalam konteks sistem keadilan kita.

Walaupun secara psikologinya kematian dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan kepada semua manusia, tetapi ini tidaklah pula bermakna manusia akan takut untuk melakukan jenayah tertentu. Dalam kebanyakan kes, penjenayah membuat keputusan tentang hasil yang boleh mereka peroleh dalam jangka waktu yang pendek, tanpa memikirkan natijah yang lebih besar. Misalnya, sekiranya mengedar dadah dianggap memberikan kekayaan kepada mereka, maka itulah yang menjadi keutamaan dalam pembuatan keputusan mereka.

Mereka tentu tidak membayangkan akan ditangkap oleh pihak berkuasa dan sebagainya. Sekiranya mereka membayangkan potensi untuk ditahan pihak polis, sudah pastilah mereka tidak akan terlibat dengan jenayah.

Begitu juga dengan banyak kes pembunuhan yang berlaku. Ada penjenayah yang membunuh individu lain kerana dendam atau permusuhan tertentu. Jadi, apabila mereka melakukan jenayah tadi, ia dilakukan atas dasar untuk melunaskan motif mereka. Mereka tidak berfikir apa yang akan berlaku kemudiannya.

Ketakutan

Dalam konteks seperti ini, pastilah hukuman mati tidak lagi merupakan satu ketakutan kepada penjenayah. Mereka mungkin akan merasai ketakutan tadi apabila mereka ditangkap pihak berkuasa dan dijatuhkan dengan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, jenayah tadi telah pun berlaku. Dalam erti kata yang lain, hukuman mati tadi tidak menakutkan penjenayah untuk melakukan jenayah. Sebaliknya, ia hanya menakutkan mereka setelah didakwa dan didapati bersalah.

Mungkin atas sebab itulah, walaupun hukuman mati dikenakan ke atas pesalah dadah, kes-kes berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah masih juga berleluasa.

Bagaimanapun, pandangan untuk mengekalkan hukuman mati juga ada benarnya. Manusia dikatakan hidup berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Dengan melihat pesalah tertentu yang dihukum mati, ia akan menyebabkan hal tadi akan menjadi topik perbualan dan menakutkan orang lain. Anak-anak akan diasuh untuk menghindarkan diri daripada terlibat dengan jenayah. Dalam erti kata yang lain, hukuman tadi bukanlah sekadar untuk menghukum penjenayah.

Sebaliknya, ia lebih kepada untuk memberikan teladan kepada ahli masyarakat yang lain agar tidak terlibat dengan aktiviti jenayah yang merosakkan orang lain.

Jadi, polemik antara kedua-dua pandangan ini harus juga diambil kira tanpa perlu melibatkan emosi. Memanglah secara logiknya, sebagai manusia biasa kita akan cenderung untuk melihat pesalah dihukum sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Bayangkan seorang peragut yang meragut beg tangan seorang warga emas di jalan raya hingga menyebabkan kematian mangsa, wajarkah pelaku jenayah seperti itu diberikan hukuman yang lebih ringan?

Bagaimanapun, pada akhirnya kita juga patut bertanya adakah dengan membunuh penjenayah tadi akan memastikan tidak ada lagi jenayah sama pada masa depan?

Pada akhirnya, apa yang patut kita promosikan adalah melahirkan masyarakat yang lebih peka untuk menghormati undang-undang. Di beberapa negara maju seperti Australia dan New Zealand misalnya, rakyatnya sangat mematuhi undang-undang jalan raya.

Malah, dalam keadaan tertentu mereka mematuhi undang-undang jalan raya yang memerlukan mereka memandu sekitar 40 hingga 50 kilometer sejam tanpa banyak merungut. Sekiranya undang-undang sekecil ini pun mampu mereka patuhi, bayangkan pula dengan undang-undang lain yang lebih besar.

Pada akhirnya, polemik sama ada hukuman mati itu wajar diteruskan atau dimansuhkan tidak terletak pada mekanisme perundangan itu sendiri. Ia terletak kepada sejauh mana kita bertanggungjawab untuk menjadi masyarakat yang berbudaya dan menghormati hidup sebagai manusia bertamadun.