Ia merupakan makanan alternatif yang mempunyai kandungan gizi tinggi dan berkhasiat selain beras.

Masyarakat di Kepulauan Numfor sudah lama mengenali pokem itu sebagai makanan ruji sejak zaman kolonial Belanda. Ia dijadikan makanan gantian kepada keladi, ubi jalar, ubi kayu, kacang hijau, sagu, buah pokok bakau atau beras.

Masyarakat setempat turut mengolah pokem menjadi makanan ibu hamil selain memprosesnya untuk dijadikan bubur kerana ia membekalkan karbohidrat untuk diperlukan dalam makanan bayi.

Tanaman itu juga dijangka menjadi salah satu perniagaan utama bagi sektor pertanian pada masa akan datang.

Penanaman gandum perlu dilaksanakan secara berterusan oleh agensi-agensi berkaitan sebagai salah satu komoditi keselamatan makanan nasional terutamanya penduduk tempatan di Kepulauan Numfor.

Selain menjadi makanan ruji bagi manusia, pokem turut dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan.

Walaupun kebanyakan orang mengenali sagu sebagai sumber makanan daripada pokok, namun penduduk tempatan bagi etnik Biak Papua telah menjadikan gandum sebagai variasi sumber karbohidrat untuk manusia.

Tanaman pokem atau jawawut merupakan sejenis tanaman serealia yang banyak dijumpai di Kepulauan Numfor. Tanaman tersebut terdiri daripada lima jenis iaitu Panicum, Setaria, Echinochloa, Pennisetum dan Paspalum.

Pokem yang ditemui di Papua termasuk dalam spesies setaria italica (pokem ekor macan) dan Pennicetum glaucum (pokem ekor kucing).

Secara asasnya, makanan tradisional boleh ditakrifkan sebagai makanan yang berakar dalam tradisi kelompok budaya tertentu.

Budayawan Biak, Ham Wambrauw berkata, gandum Papua tidak hanya memenuhi sumber nutrisi malah memiliki fungsi-fungsi sosial penting dalam kehidupan masyarakat tempatan Kepulauan Numfor.

Menurutnya, makanan menjadi sumber tenaga untuk pergerakan tamadun dan kelangsungan manusia.

Komoditi pertanian

“Terdapat kumpulan etnik yang mengambil ubi kayu atau sumber lain untuk dijadikan makanan antaranya ialah masyarakat etnik Karon.

“Etnik tersebut yang tinggal di Kepala Burung Papua itu mengambil pisang yang tumbuh di hutan ulayat sebagai makanan ruji mereka,” ujarnya.

Hasil penyelidikan Universiti Cenderawasih Jayapura (Uncen Jayapura), terdapat lima jenis pokem di Biak Numfor iaitu pokem vesyek (jawawut coklat), pokem verik (jawawut merah), pokem vepyoper (jawawut putih), pokem vepaisem (jawawut hitam) dan pokem venanyar (jawawut kuning).

Bagi penduduk Biak Numfor, pokem telah lama dimanfaatkan sebagai bahan daripada pokok dan komoditi pertanian masyarakat Orang Asli.

Ketua Dewan Kesenian Biak, Mikha Ronsumbre berkata, Numfor telah berabad lamanya bergantung hidup dengan penanaman gandum yang dijadikan sebagai makanan ruji selain ubi dan kacang hijau.

Masyarakat Numfor adalah petani, pengeluar, pengedar dan pengguna pokem serta kacang hijau sejak dahulu lagi.

Gandum Papua memiliki pelbagai kelebihan berbanding gandum jenis lain yang terdapat di Indonesia.

Ia mengandungi sumber karbohidrat yang tinggi iaitu 74.16 peratus berbanding gandum biasa hanya 69 peratus sekali gus membuktikan ia berpotensi untuk dijadikan sumber tenaga.

Khasiat

Jelas Mikha, kajian mendedahkan pokem mengandungi lemak sebanyak 2.69 peratus, karbohidrat 74.16 peratus dan vitamin A.

Selain itu, khasiat pokem lebih tinggi daripada gandum biasa sekali gus menunjukkan bahawa ia boleh dijadikan sebagai pengganti kepada beras dan tepung.

Pokem berpotensi dibangunkan dalam usaha mengukuhkan keselamatan makanan sebagai sumber karbohidrat untuk menggantikan beras kerana ia mempunyai kelebihan berbanding tanaman yang lain.

Pokem dapat hidup hampir di semua jenis tanah termasuk di tanah yang kurang subur dan kering selain tempoh tuaiannya pula singkat. Pokem ditanam dengan menabur benih secara terus selepas tanah dibakar.

Indonesia kaya dengan makanan, namun sebahagian besar rakyat di republik itu termasuk di wilayah Papua mengambil nasi sebagai sumber makanan mereka.

Mengikut Data Badan Tanaman Pangan Wilayah Papua, sebanyak 30 peratus penduduk Papua mengambil ubi, 15 peratus sagu dan selebihnya adalah beras sejak tahun 1998.

Walaupun di Papua mempunyai tanaman sagu dan ubi, tetapi masih terdapat tanaman makanan lain antara keladi dan aibon buah pokok bakau yang diproses menjadi tepung.

Sementara itu, hasil kajian Frans Rumbrawer daripada Uncen Jayapura berkata, tanaman gandum yang berasal dari Kepulauan Numfor mempunyai khasiat tinggi namun penggunaannya masih belum dimaksimumkan.

Katanya, khasiat yang terkandung dalam pokem ternyata tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan gandum biasa yang dibuat tepung.

Pemenang Anugerah Bogasari Nugraha pada tahun 2002 itu memberitahu, daripada semua bahan makanan tempatan yang ditelitinya, hanya pokem yang mendapat penghargaan bagi kategori penyelidik unggul Indonesia pada tahun 2002.

Katanya, setakat ini belum ada kajian bagi mengembangkan pokem sebagai salah satu makanan tempatan di Papua.

“Orang-orang tua kami di Numfor sejak dahulu lagi sudah menjadikan pokem sebagai sumber karbohidrat selain keladi dan taro,” ujarnya.

Kajian mendedahkan, pokem mengandungi khasiat khususnya lemak, protein dan karbohidrat malah ia tinggi kandungan vitamin A, B1, B2, C dan D berbanding gandum biasa.

Tanaman tersebut dituai sebanyak empat kali setahun.Ia memerlukan air yang mencukupi dan kelajuan angin sederhana kerana pokem termasuk dalam tumbuh-tumbuhan yang memerlukan rawatan khas.

Antara ancaman tanaman tersebut ialah ulat, belalang, babi liar dan semut merah kerana ia mengandungi gula yang tinggi.

Penuaian juga perlu dilakukan secara berhati-hati bermula ia dipetik sehingga diproses menjadi bahan makanan.

Pokem yang dituai perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum ditumbuk dengan alu dan lesung.

Antara kampung di Kepulauan Numfor yang masih aktif menanam pokem ialah Kampung Kameri, Namber, Kansai, Baruki dan Sandau.