Cawangan ke-29 itu merupakan outlet terbesar Sport Direct di negara ini dengan keluasan mencecah 12,801 meter persegi.

Ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu cawangan sukan dengan keluasan 8,534 meter persegi dan pusat membeli peralatan sukan golf iaitu MST golf 4,267 meter persegi.

Pengarah Urusannya, Paul Gibbons berkata, pihaknya berasa sangat teruja dapat membuka cawangan baharu yang serba lengkap di Lembah Klang.

Jelasnya, outlet setinggi dua tingkat itu menawarkan pelbagai jenis barangan berjenama terkenal dari seluruh dunia seperti Adidas, Puma, Karimor dan Nike.

“Cawangan ini dibina dengan kos melebihi RM7 juta. Di sini, pelanggan kami boleh mendapatkan pelbagai barangan sukan.

“Antaranya, kelengkapan renang, menyelam, bola sepak, ragbi, hoki, badminton, berlari, mendaki gunung dan tinju,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! selepas majlis pembukaan cawangan Sport Direct, Petaling Jaya.

Sport Direct merupakan peruncit barangan sukan yang berpangkalan di Britain. Malaysia merupakan negara luar pertama yang mempunyai cawangan Sport Direct.

Gibbons memaklumkan, syarikat berkenaan memilih membuka cawangan di Petaling Jaya disebabkan kedudukannya betul-betul bersebelahan Lebuh Raya Persekutuan.

Jelasnya, kedudukan strategik itu dapat memudahkan orang ramai berkunjung selain kemudahan tempat letak kereta yang selesa.

“Kami sangat bertuah kerana dapat membuka cawangan di sini. Sukar sebenarnya untuk mendapat ruang yang sebegini luas di Petaling Jaya.

“Kami juga bercadang menaikkan papan tanda besar menghadap Lebuh Raya Persekutuan yang sentiasa sibuk dengan kenderaan bagi tujuan promosi,” katanya.

Maklumat lanjut dan promosi terkini di Sport Direct boleh diperoleh dengan melayari laman web www.sportdirect.com.