Doh piza yang dihasilkan sendiri bersama inti sambal tradisional masyarakat Pahang itu dibakar bersama keju di dalam relau kayu api sehingga membangkitkan aroma menyelerakan.

Selain sambal hitam, restoran Piza Anak Dol turut menyediakan sembilan menu lain yang tidak kurang menggoda selera seperti Ayam Aloha, Thousand Island, Chezzy Lover dan Daging Black Pepper.

Pengusaha Piza Anak Dol, Nor Rosidah Osman, 30, berkata, setiap piza yang disediakan di dapur premisnya di Kampung Bukit Dinding dibakar di dalam ketuhar kayu api bagi mendapatkan aroma dan rasa doh yang gebu.

“Sambal hitam merupakan makanan tradisional masyarakat di Pahang. Ia diperbuat daripada ikan bilis yang dimasak bersama belimbing buluh dan cili sehingga bertukar menjadi hitam.

“Rasa masam dan sedikit pedas daripada sambal ini menjadi unik apabila dihidangkan bersama keju yang menjadi bahan wajib untuk piza,” ujar Nor Rosidah.

Menjalankan perniagaan itu bersama suaminya, Mohd. Johari Abdul Mutalib, 41, sejak setahun lalu, Piza Anak Dol kini semakin mendapat sambutan hangat daripada pelanggan termasuk pengunjung luar.

Tidak hanya digemari masyarakat setempat, keenakan Piza Anak Dol turut mendapat pujian daripada pengunjung dari Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Kelantan yang berhenti singgah untuk menjamu selera di Jerantut.

Nor Rosidah berkata, piza sambal hitam serta sambal petai adalah dua menu unik yang mungkin tidak dapat ditemui di restoran lain.

Makanan tradisi

“Saya ingin menonjolkan keenakan sambal hitam yang merupakan makanan tradisi orang Pahang khususnya penduduk Jerantut. Penyediaan juga pantas dan pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan piza yang enak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

“Terdapat tiga saiz piza iaitu kecil berharga RM13, sederhana (RM17) dan besar (RM23). Piza sambal hitam serta sambal petai pula dijual RM15 bagi saiz kecil, sederhana (RM20) dan besar (RM28),” ujarnya.

Tambah anak jadi Jerantut itu lagi, dia menyediakan hampir 200 keping piza pada hari biasa dan mencecah 500 keping pada setiap hujung minggu serta cuti umum.

“Setakat ini kami dibantu 13 pekerja lelaki dan kami sudah mempunyai kilang untuk menyediakan piza sejuk beku di Kampung Tebing Tinggi.

“Kami turut menerima tempahan daripada agensi kerajaan serta swasta. Tempahan perlu dibuat lebih awal bagi memudahkan pihak kami menyediakan bahan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya belum menyediakan perkhidmatan penghantaran namun orang ramai boleh membuat tempahan awal secara WhatsApp atau hubungi talian 017-549 1995.