Mendengar nama Piala Dunia pun boleh menyebabkan para peminat tidak senang duduk.

Sukan merupakan salah satu medan yang mampu menyatupadukan penduduk jika dilihat dari segi kepentingannya dalam pembangunan negara.

Bagaimanapun, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Piala Dunia 2018 di Rusia ini dilihat menjadi medan untuk mencari pergaduhan dan mengeji antara satu sama lain terutamanya dalam kalangan anak muda di media sosial.

Apabila satu-satu pasukan kalah atau tidak menunjukkan prestasi yang baik, media sosial dijadikan medium untuk membuat kenyataan-kenyataan terbuka yang menyakitkan hati dan menggores perasaan penyokong pasukan lain.

Kata-kata dan lagu-lagu menghina pasukan yang kalah ditularkan tanpa kawalan. Etika dan semangat kesukanan terkubur begitu sahaja.

Sensitif

Natijah daripada perbuatan itu mungkin tidak disedari oleh individu yang melakukannya tetapi ia mampu memberikan impak yang tinggi kepada orang yang sensitif seperti apa yang berlaku terhadap seorang penyokong tegar pasukan bola sepak Argentina dari India.

Pemuda berusia 30 tahun dari Kerala itu menghilangkan diri dan dipercayai membunuh diri kerana kecewa dengan persembahan pasukan kegemarannya.

Pemuda itu juga tidak dapat menerima penghinaan apabila rakan-rakannya mempersendakan pasukan kegemarannya itu.

Harus diingatkan bahawa membunuh, mencederakan diri dan menyakitkan hati individu lain semata-mata kerana sukan bukan semangat kesukanan. Itu adalah sifat kebencian dan harus dibuang.

Ada pula individu yang terlalu meminati sukan ini sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pekerja dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak masuk atau lewat ke tempat kerja semata-mata mahu menonton siaran langsung perlawanan yang disiarkan pada pukul 8 malam hingga 2 pagi waktu tempatan.

Itu belum lagi bercerita mengenai masalah yang timbul dalam rumah tangga dan hubungan antara ahli keluarga yang menyokong pasukan berbeza serta tanggungjawab yang diabaikan oleh anggota keluarga apabila terlalu asyik dengan permainan bola yang muncul empat tahun sekali ini.

Peminat tegar bola sepak terutamanya golongan muda seperti ini harus sedar bahawa jika mereka mengabaikan tanggungjawab di tempat kerja dan keluarga, bukan pemain-pemain daripada pasukan bola sepak berkenaan yang akan datang membantu jika timbul masalah kelak, sebaliknya individu yang terlibat harus mencari jalan penyelesaian sendiri.

Individu yang kita jadikan musuh semasa tempoh perlawanan itu akan ditemui pada setiap hari dan silap hari bulan, orang yang kita anggap sebagai musuh bola sepak tersebut akan membantu kita satu hari nanti.

Ini kerana individu itu yang berada dekat dengan kita dan bukannya pemain atau pasukan bola sepak yang kita minat itu.

Kenapa harus melepaskan perhubungan yang jelas di depan mata dan mengejar perhubungan yang tidak pernah kita kenal yang hanya muncul secara bermusim?

Kenapa perlu bergaduh mencari musuh, bermasam muka, menyebabkan kehilangan nyawa dan mengguris perasaan orang lain?

Piala Dunia merupakan acara sukan yang dimainkan oleh pasukan dari negara tertentu. Kita tidak kenal pun secara peribadi pemain-pemain berkenaan. Pasukan yang menang atau kalah tidak memberikan sebarang kepentingan kepada kita sebagai peminat kecuali kepuasan. Itu sahaja.

Adat bertanding

Bukan tidak boleh menyokong atau mengikuti perkembangan sukan ini tetapi penulis menasihati agar segala yang diminati ada batasnya.

Boleh menyokong tetapi harus berpada-pada, jangan melampaui batas. Tanggungjawab dan nilai persahabatan harus diteruskan.

Kalah menang adat bertanding. Jangan ambil semua yang berlaku dari sudut yang sensitif dan secara peribadi.

Perlawanan ini akan menjadi perbualan selama satu atau dua bulan sahaja, seterusnya menjadi sejarah selama-lamanya. Sebagai peminat, kita yang akan menghadapi dunia realiti.

Sebaliknya ambil nilai murni sepanjang penganjuran sukan ini seperti semangat berpasukan kumpulan England yang membenam Panama dan sikap penyokong Jepun yang bertanggungjawab mengutip sampah mereka sendiri.

Kekalkan semangat kesukanan ke arah melahirkan masyarakat dan generasi yang bertanggungjawab serta beretika. Selamat menonton Piala Dunia 2018.