Menurut kenyataan akhbar MBSA, program tersebut diadakan sebagai platform kepada komuniti setempat mendapatkan sayur-sayuran pada harga lebih murah dan segar.

“Program itu juga boleh memberi sumber pendapatan tambahan kepada persatuan penduduk melalui hasil jualan sayuran kebun komuniti itu.

“Program ini juga dapat menjadikan konsep dusun bandar sebagai satu aset hidup kepada Shah Alam dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Turut hadir Timbalan Setiausaha MBSA, Cheremi Tarman.

Tambahnya, kewujudan kebun komuniti itu secara tidak langsung dapat memberi kesan optimum kepada ruang-ruang yang terbiar dan tidak ekonomik menjadi lebih hijau dan mampan.

Pelbagai sayur-sayuran dijual kepada orang ramai antaranya bayam, kangkung, sawi, pucuk ubi, ulam-ulaman dan lemon.

Murah

Pada program tersebut , orang ramai juga berpeluang memetik sendiri sayur yang segar dan dibeli pada harga lebih murah daripada pasaran.

Kebun komuniti di Shah Alam merupakan sebahagian daripada komponen dalam penilaian Anugerah Hijau Pertandingan Zon Bersih Mini (MiniZeeBee) anjuran pihak MBSA dan telah menjadi satu program yang dapat membantu melahirkan masyarakat yang mampan serta meningkatkan kehidupan di bandar.

Selain jualan sayur, kebun komuniti juga menawarkan jualan seperti anak pokok, biji benih, baja kompos, buah-buahan tempatan, burung puyuh dan cendawan.

Melalui program tersebut, pihak MBSA menawarkan pengalaman memetik sendiri sayur kepada orang ramai dan berharap agar aktiviti itu terus dipopularkan supaya menjadi trend dalam menggalakkan masyarakat memakan sayur-sayuran serta mengurangkan kebergantungan kepada tanaman import.

Kelebihan sayur-sayuran di kebun komuniti adalah ia segar, murah dan organik serta harganya pula lebih murah.