Ia bagi mengelak pengeluaran sektor itu terjejas dan memaksa mereka gulung tikar.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid berkata, sektor pertanian di kawasan tanah tinggi yang menjadi pusat utama pengeluaran sayur-sayuran, bunga, buah-buahan dan teh negara berhadapan situasi kritikal kerana kekurangan pekerja.

“Sejak Disember tahun lalu, kira-kira 40 peratus daripada pekerja asing di Cameron Highlands tamat tempoh bekerja. Ia menyebabkan beberapa ladang dan kebun gagal beroperasi sepenuhnya.

“Kami menghadapi masalah tanpa pekerja asing dan ada antara kami yang terpaksa mengurangkan pengeluaran,” katanya.

Menghormati keputusan untuk menghentikan kemasukan pekerja asing, beberapa persatuan pekebun mewakili pelbagai kaum di Cameron Highlands berharap, kerajaan akan mengkaji semula langkah itu bagi mengatasi keperluan mendesak terhadap tenaga kerja asing melalui pemberian kelonggaran terhadap sektor pertanian.

“Kami juga berharap semua pihak termasuk rakyat di negara ini faham akan masalah dihadapi. Kami memang bergantung kepada pekerja asing atau lambat laun terpaksa gulung tikar,” katanya.

Masalah kekurangan pekerja asing semakin runcing selepas kerajaan membekukan kemasukan tenaga kerja asing baharu dalam semua sektor kecuali pembantu rumah pada Mac lalu.

Pada 12 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengumumkan, kerajaan tidak akan mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin berkata, majikan yang mahu menggaji pekerja asing perlu mengambil pekerja sedia ada. Ini termasuk pekerja yang telah tamat tempoh visa dan tiada dokumen di bawah Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin yang dilaksanakan sejak 15 Februari dan tamat pada 30 Jun.

Kritikal

Syed Abdul Rahman berkata, beliau dan wakil Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil India Cameron Highlands, Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands serta pengusaha-pengusaha Ladang Teh Cameron Highlands sedia bertemu pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu itu.

Katanya, keadaan akan menjadi lebih kritikal menjelang Jun apabila lebih ramai pekerja pulang ke negara masing-masing berikutan berakhirnya tempoh Program 6P dan majikan tidak dibenarkan mengambil pekerja asing baharu.

“Selesaikan masalah ini secepat mungkin sebelum kritikal. Sekarang ini, sesetengah seksyen ladang teh terpaksa ditutup, terdapat pekebun sayur yang hanya mampu mengerjakan sebahagian kebun dan ada juga kebun terbiar kerana berhadapan masalah kekurangan pekerja,” katanya.

Tanpa pekerja yang mencukupi, keseluruhan kerugian yang akan ditanggung adalah besar kerana kadar pusing ganti sektor pertanian Cameron Highlands sangat tinggi iaitu RM5 juta sehari.

“Kadar pusing ganti dalam sehari bagi bunga adalah RM2 juta dengan 80 peratus adalah hasil eksport, sayur RM1 juta iaitu 80 peratus untuk keperluan tempatan, strawberi pula kira-kira RM30,000 manakala, agropelancongan menerima kira-kira satu juta pelancong setahun, itu belum lagi ladang teh,” jelas beliau.

Sektor pertanian di Cameron Highlands bukan sahaja boleh menyebabkan pengusaha menanggung kerugian bahkan memberi kesan kepada ekonomi daerah, negeri dan negara.

Dari satu sudut lain, Syed Abdul Rahman berkata, para pengusaha sektor pertanian di Cameron Highlands banyak mendapat manfaat daripada kerajaan seperti bantuan kewangan, kemudahan pinjaman mikro, pengangkutan serta pembelian dan pemasaran oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kita pasti tidak mahu semua kemudahan dan yang diusahakan itu akhirnya merugikan sebab projek terbantut kerana tiada pekerja. Kemungkinan kami juga akan diseret ke mahkamah kerana gagal membayar pinjaman masing-masing,” keluhnya.

Gaji minimum

Menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa pekerja asing diambil kerana dapat menjimatkan kos, beliau menjelaskan bahawa pengusaha ladang mengamalkan dasar gaji minimum.

Malah, lebih baik mengambil pekerja tempatan kerana hanya perlu bayar RM1,000 daripada ‘menyimpan' pekerja asing yang lebih mahal sebab telah lama kerja.

Mengenai masyarakat Orang Asli di sekitar Cameron Highlands, Syed Abdul Rahman mengakui sukar untuk mengambil bekerja mengikut jadual kerja kerana mereka terbiasa bekerja ‘ikut masa sendiri'.

Selain itu, agak sukar untuk mendapatkan belia Orang Asli pada masa kini kerana ramai diambil bekerja oleh agensi-agensi kerajaan seperti majlis daerah, Jabatan Kesihatan dan seumpamanya. - Bernama