Ia tergolong dalam keluarga tumbuhan Amaryllidaceae.

Perkara menarik mengenai tanaman hiasan tersebut ialah penampilan daun dan bunganya.

Pokoknya berdaun panjang bersaiz besar dan berbentuk mirip pedang berwarna hijau tua kekuningan menyerupai pokok lily.

Begitupun, tumbuhan tersebut agak lambat berbunga.

Putik bunganya tumbuh dalam gugusan pada hujung tangkai dengan bunganya sepanjang kira-kira setengah meter.

Bunganya yang berkembangan itu mempunyai enam kelopak berwarna ungu dan sedikit campuran warna putih pada bahagian tengah serta ditumbuhi stamen-stamen berwarna ungu.

Bentuk bunganya itu pula menyerupai serangga labah-labah.

Sebab itulah ia mendapat gelaran Giant Spider Lily (Lili lelabah gergasi).

Namun, bunganya hanya boleh kembang beberapa hari sahaja sebelum layu.

Batang pokoknya yang pendek dan membesar pada bahagian bawah itu kelihatan agak berisi.

Ciri-ciri sebegini menjadikannya sesuai dan cantik dijadikan tanaman hiasan. Pokok spesimen ini ditanam dalam pasu atau pada tanah dalam skala yang luas.

Tumbuhan tersebut dikatakan berasal dari Sumatera.

Pembiakan:

Ia mudah ditanam menggunakan anak benih pokok yang tumbuh di sisi pokok induknya.

Ikuti langkah penanamannya seperti berikut:

1) Dapatkan anak benih dari sisi pokok induknya.

2) Tanam anak benih sama ada dalam pasu atau di tanah.

3) Siram dan berikan penjagaan seperti pokok yang matang.

Ia juga boleh ditanam menggunakan bebawang dan belahan rumpun.

Medium tanaman yang sesuai untuk penanamannya campuran medium tanaman untuk pokok berpasu dalam nisbah 3:2:1 (Tanah peroi;tanah gambut atau tanah organik;pasir sungai).

Penjagaan:

1) Pokoknya perlu didedahkan kepada banyak cahaya matahari supaya cepat membesar, berdaun dan berbunga menarik.

2) Medium tanamannya perlu sentiasa lembap. Oleh itu, siram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Siram apabila perlu sahaja pada hari hujan. 
Elakkan air bertakung dalam medium tanamannya bagi mengelakkan pereputan akar.

3) Baja organik seperti najis ayam adalah terbaik untuk membajai pokok ini.
Sebagai alternatif, baja kimia juga boleh digunakan.

Idea pameran:

1) Ia sesuai ditanam di atas tanah sebagai salah satu spesies pokok berbunga dalam gubahan untuk menghiasi batasan dan dijadikan sempadan.

2) Ia juga sesuai ditanam dalam pasu sama ada secara solo sebagai pokok spesimen atau dicampur dengan pokok bebawang lain.

Tip:

1) Potong bunganya yang layu dan daun yang kecut atau mati untuk penampilan lebih kemas dan menarik.

2) Gembur medium tanamannya agar pokok dapat tumbuh lebih subur.

Awas ketika melakukannya bagi mengelakkan terkena bebawangnya.