Orkid yang berbunga cantik daripada keluarga tumbuhan Orchidaceae adalah jenis Epiphyte. Ia hidup menumpang pada pokok lain dengan melekat pada batang atau ranting pokok di hutan belantara.

Bentuk bunganya begitu unik, cantik dan menarik serta mengeluarkan bau wangi seperti rempah namun, ia agak jarang ditanam.

Perkataan Bulbophyllum merujuk kepada batangnya yang berbentuk seperti bebawang.

Bagi perkataan Lobbii pula, ia disandarkan kepada nama seorang pencari dan peminat tumbuhan liar iaitu Thomas Lobb yang membawa tumbuhan ini dari Kepulauan Jawa dan memperkenalkannya di England pada tahun 1846.

Oleh itu, tumbuhan ini juga dikenali sebagai Lobb’s Bulbophyllum.

Batangnya yang berbentuk seakan-akan bebawang itu dikenali sebagai Pseudobulb dan ditumbuhi sehelai daun sahaja pada hujungnya.

Daunnya itu berbentuk lebar dan panjang serta kuncup pada bahagian hujung berwarna hijau tua.

Bunganya pula berwarna oren serta berbentuk unik. Saiznya agak besar itu tumbuh dari ruas pada rizom setiap pseudobulbnya yang matang.

Selain tumbuh meliar di negara ini, ia juga dikatakan tumbuhan liar di beberapa negara lain seperti Thailand dan Sumatera, Indonesia.

Oleh sebab itu, ia juga dikenali sebagai Bulbophyllum siemense dan Bulbophyllum sumatranum.

Pembiakan:

Tumbuhan liar ini boleh dibiakkan menggunakan kaedah belahan rumpun seperti berikut:

1) Belah rumpun pokoknya kepada beberapa rumpun yang kecil tetapi pastikan ia mengandungi beberapa batang dan tunas anak pokok.

2) Tanam setiap rumpun sama ada dalam pasu atau melekatkannya pada batang kayu dengan medium tanaman yang sesuai.

Ia juga boleh dibiakkan menggunakan anak benih pokok.

Gunakan salah satu medium tanaman sama ada lumut Sphagnum moss dan serat kelapa atau bahan organik (kompos) yang diletakkan dalam sabut kelapa.

Tutupi bahagian akar tumbuhan ini dengan salah satu medium tanaman berkenaan, ikat dan letakkan dalam pasu atau dilekatkan pada batang kayu.

Penjagaan:

1) Ia memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari yang banyak tetapi sedikit terlindung untuk pertumbuhan subur dan menggalakkan proses pembungaan.

2) Siram dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan kelembapan medium tanamannya. Siram apabila perlu sahaja pada hari hujan.

3) Gunakan baja organik seperti najis ayam, kelawar atau baja kompos lain yang siap diproses.

Anda juga boleh menggunakan baja khas untuk tanaman orkid yang boleh dibeli daripada pusat tanaman dan ikutilah penggunaan yang disyorkan.

Idea pameran:

Pokok ini amat sesuai dan cantik ditanam pada batang atau ranting kayu pokok lain.

Contohnya, seperti pada batang pokok paku gajah dan sebagainya. Ia juga sesuai ditanam dalam pasu.

Pokoknya sesuai ditanam menghiasi taman yang bertema tropika atau nusantara.

Ia nampak cantik seperti di alam semula jadinya iaitu hutan tropika.

Tip

Elakkan Pseudobulb yang baru tumbuh diserangi fungus dengan mengurangkan siraman dan meletakkannya di tempat yang mempunyai peredaran udara yang baik.