Selain itu, ia datang dalam bentuk, saiz, warna dan corak kelopak bunga yang pelbagai.
Ia adalah sejenis pokok orkid epiphyte iaitu hidup menumpang di atas dahan pokok lain dan mendapat makanan daripada bahan larutan air hujan serta bahan nutrien yang terkumpul pada sekeliling akarnya.

Pembiakan:
Ia boleh ditanam menggunakan pseudo-bebawang  (pseudo-bulb) yang tumbuh di sisi batang pokok induknya.

Cara menanamnya adalah seperti berikut:
1) Pisahkan pseudo-bebawang daripada pokok induknya.
2) Tanam terus dalam medium tanaman.

Orkid jenis ini perlu ditanam dalam medium tanaman yang mengandungi batu-bata yang perlu direndam terlebih dahulu dalam air sebelum digunakan.
Selain daripada itu, ketulan arang dan sabut kelapa atau lumut sphagnum moss boleh juga digunakan.

Penanaman:
Guna pasu yang diperbuat daripada tanah liat yang mempunyai lubang di sekelilingnya agar memudahkan pengaliran udara.
Hal tersebut perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan keperluan khusus untuk pertumbuhan pokok orkid.

Cara menyediakan campuran medium tanamannya pula adalah seperti berikut:
1) Pecahkan batu-bata dan arang kepada saiz yang lebih kecil iaitu kira-kira 3 sentimeter  lebar, panjang dan ketinggian.
2) Isikan ketulan batu-bata, arang dan sabut kelapa atau lumut sphagnum moss di bahagian bawah pasu.
3) Letak pseudo-bebawang pokok orkid jenis simpodial di bahagian tengah pasu.
4)Isikan bahan medium tadi sehingga tiga perempat pasu dan letak di tempat teduh.

Penjagaan:
1) Pokok ini memerlukan sedikit naungan daripada terik cahaya matahari bagi mengelakkan medium tanaman cepat kering.
Ia juga memerlukan peredaran udara yang baik bagi mengelakkan serangan kulat, penyakit serta serangga perosak.
2) Siram air dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang pada hari panas.
Siram bila perlu sahaja lebih-lebih lagi jika pokok terdedah terus kepada titisan hujan.
3) Guna baja semburan daun khas untuk tanaman orkid dengan kuantiti serta kekerapan menyemburnya seperti yang disyorkan di pek baja.
Guna baja pembungaan berwarna merah apabila pokok telah membesar dan terdapat tanda-tanda akan mengeluarkan bunga.
Sembur daun serta medium tanaman untuk menambah kelembapan keadaan di sekeliling pokok.

Tip:
1) Potong beberapa tangkai bunganya yang sedang kembang untuk dijadikan bahan dalam gubahan bunga hidup untuk hiasan kediaman, ruang pejabat dan sebagainya.
2) Gunakan sungkupan jaring hijau atau hitam untuk melindungi pokok daripada bahang panas.
Bahan ini boleh dibeli dari pusat tanaman atau kedai perkakasan.

Idea pameran:
Selain ditanam dalam pasu khas untuk orkid, ia juga boleh dipamerkan dengan mengikat batangnya pada kayu atau kepingan kulit kayu hidup atau mati yang boleh digantung.
Untuk itu, kayu yang sesuai ialah gelam, jambu atau rambutan.
Cara menanamnya adalah dengan mengikat bebawang terlebih dahulu pada sabut kelapa, kemudian diikat atau dipakukan pula di atas ranting atau batang pokok.
Ia juga boleh ditanam terus di dalam buah kelapa tua yang terlebih dahulu dipotong hujung dan dibuang tempurung untuk mendedahkan sabutnya.
Cara pameran begini nampak unik dan cantik terutama apabila ia digantungkan.