Seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi itu, ia memberi kesan secara langsung ke atas peluang pekerjaan yang ditawarkan, sekali gus signifikan dengan gaya hidup masyarakat masa kini.

Sejak kemunculan platform digital, gaya hidup manusia mula menampakkan banyak perubahan. Hal-hal yang tidak pernah difikirkan atau dianggap remeh satu ketika dahulu kini semakin banyak dicari orang.

Menurut kajian yang dihasilkan oleh sebuah firma perundingan pengurusan sedunia, McKinsey & Company dan hasil rumusan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum), tujuh jenis pekerjaan yang banyak dipengaruhi oleh pembaharuan dalam bidang teknologi adalah komunikasi, industri kreatif, profesional, pengurusan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta pembinaan.

Bagaimanapun, bidang pekerjaan daripada industri kreatif seperti industri lakonan, nyanyian dan rekaan fesyen kreatif, masih kekal pada zaman teknologi digital ini.

Bidang pekerjaan profesional seperti ahli matematik, aktuaris, statistik atau juruteknik masih kekal diperlukan tetapi jumlahnya berkembang pada kadar negatif.

Kini muncul pilihan dalam bidang pekerjaan baharu yang lebih bersifat dinamik dan berteraskan kreativiti selain daripada pekerjaan umum atau yang lazim dipilih orang.

Jika kita lihat suasana dalam pekerjaan yang bersifat tradisional seperti menjadi pekerja bank, pekerja pejabat dan industri juga semakin berubah kaedah kerjanya akibat daripada perkembangan platform digital ini.

Perkembangan ini menjadi pemangkin kepada wujudnya pilihan-pilihan pekerjaan baharu yang diberikan tumpuan oleh generasi muda pada era digital. Bidang inilah yang akan memacu sektor ekonomi negara ke hadapan.

Aplikasi

Dalam memacu Revolusi Industri 4.0, bidang pekerjaan seperti penulis kandungan laman web (web content writer) mula mendapat perhatian.

Seseorang penulis kandungan laman web bertugas secara kreatif menggambarkan operasi sesebuah perniagaan dengan gaya bahasa yang boleh menarik serta mempengaruhi perhatian para pengunjung laman web.

Pekerjaan ini mendapat tempat dan semakin popular kerana banyak perniagaan mula melangkah ke dalam bidang digital seperti Zalora dan Lazada.

Selalunya, bidang pekerjaan seperti ini bukan pekerjaan tetap tetapi banyak bersifat sambilan (freelance).

Tidak ketinggalan juga, golongan muda dihidangkan dengan peluang pekerjaan seperti YouTuber.

YouTuber merupakan sebutan bagi pengguna YouTube yang membantu orang ramai berkongsi maklumat melalui video yang dimiliki.

Ketika ini, para YouTuber dapat menghasilkan pendapatan melalui kandungan yang mereka garap atau hasilkan seperti klip video, komedi, filem pendek sehingga kepada permainan online yang menarik.

Kini, pembuat aplikasi telefon pintar daripada kalangan generasi muda juga semakin berkembang.

Siapa yang tidak kenal aplikasi pengangkutan awam online iaitu Grab? Semakin ramai orang yang mula berjinak-jinak dengan bidang pekerjaan pembuat aplikasi digital ini akibat daripada perkembangan perubahan gaya hidup masyarakat moden pada masa kini.

Selain daripada itu, muncul juga bidang pekerjaan baharu yang dikenali sebagai wartawan video.

Orang ramai boleh menjadikan wartawan sebagai bidang pekerjaan dengan bantuan teknologi seperti YouTube.

Dengan hanya bermodalkan bantuan video kamera daripada telefon pintar, maka peluang untuk menjadi wartawan terbuka luas.

Era digital juga telah membuka satu lagi peluang pekerjaan iaitu editor online.

Era digital telah mendorong minat masyarakat muda terhadap media yang boleh menghubungkan media cetak tradisional dengan media online.

Akibatnya, peluang bekerja online menjadi terbuka, salah satunya dengan menjadi seorang editor online.

Bagi mereka yang ingin meneruskan pengajian pada masa akan datang, mereka sepatutnya memberikan tumpuan kepada bidang berkaitan agar apa yang mereka kejar dalam bidang pendidikan selari dengan keperluan industri.

Jika diteliti dengan mendalam, kebanyakan bidang pekerjaan masa hadapan berteraskan kreativiti dan bersifat bukan pekerjaan tetap.

Ini juga perlu diberi perhatian oleh para generasi muda. Satu anjakan paradigma diperlukan daripada para tenaga kerja pada zaman ini.

Generasi muda Malaysia kini perlulah sentiasa memperkaya diri dengan inovasi untuk bersedia berkembang maju seiring perkembangan perusahaan sesuai dengan tuntutan zaman.