Bertemakan Keriangan Aidilfitri, pusat beli-belah itu bagai mengimbas nostalgia zaman dahulu apabila menerapkan permainan-permainan tradisi dalam dekorasinya.

Sehingga Ahad ini, pengunjung pasti terpesona dengan pameran ikon-ikon permainan tradisional yang bersifat interaktif di setiap pelosok pusat beli-belah itu.

Sebahagian daripada pusat beli-belah itu telah ditransformasikan kepada sebuah taman permainan yang memaparkan antaranya congkak, tarik upih dan batu seremban bagi menjemput pengunjung mengalami keseronokan pelbagai permainan tradisional klasik ini.

Sebuah ikon congkak gergasi yang berdiri megah sepanjang lapan meter merupakan hiasan utama yang dikelilingi dekorasi tradisional lain.

Di samping itu, pengunjung juga akan menemukan pelbagai permainan gergasi yang menghiasi tingkat satu dan dua. Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai bengkel kerja hujung minggu, contohnya lukisan batik dan lipatan ketupat fabrik.

Turut disajikan persembahan tarian Melayu tradisional dan muzik angklung.

Pengurus Pemasaran IPC, Eleanor Lo berkata, tema tersebut ditampilkan untuk menzahirkan semangat bersatu hati sempena Ramadan dan Syawal.

“Tahun ini, kami ingin memberikan pengalaman Aidilfitri yang membawa kenangan silam. Zaman ini, kebanyakan kita menghabiskan terlalu banyak masa dengan peranti mudah alih sehingga jarang berinteraksi dengan orang tersayang pada musim perayaan.

“Maka melalui pelancaran Keriangan Aidilfitri, IPC berharap dapat menghidupkan kembali pelbagai permainan tradisional klasik yang menggamit memori serta nostalgia supaya kita dapat mengetepikan aplikasi mudah alih buat sementara demi mengeratkan semula silaturahim keluarga,” katanya.

Eleanor berkata, bermain permainan tradisional memerlukan semangat kerjasama serta komunikasi yang tinggi.

Disebabkan itu, pihaknya mempamerkan pelbagai permainan tradisional sebagai ikon gergasi.

“IPC sentiasa menjadi sebuah tempat mesra komuniti yang membolehkan warga kota mencipta detik terindah bersama keluarga dan rakan.

“Tidak kira menikmati sarapan, membeli-belah untuk Aidilfitri atau sekadar ingin meluangkan masa yang menyeronokkan bersama orang tersayang, kami mampu memenuhi keperluan setiap orang,” katanya.