Program itu dirangka dengan perancangan rapi berdasarkan kepelbagaian pembelajaran untuk menyerlahkan potensi dan mengoptimumkan kepimpinan setiap peserta.

Danajamin100 memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu pembinaan jati diri, memperkasakan nilai kepimpinan dan pengembangan kemahiran profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin, Mohamed Nazri Omar berkata, sebagai satu-satunya Insurer Jaminan Kewangan di Malaysia, kami menyedari bahawa setiap organisasi seharusnya memainkan peranan ke arah pembentukan masyarakat dan negara.

“Selain memberi keyakinan dan menawarkan akses kepada pasaran, kami percaya akses juga harus ditawarkan kepada generasi muda. Maka wujudlah Danajamin100, sejajar dengan perniagaan kami.

“Kami berharap program ini dapat terus mempersiapkan para pelajar dengan keyakinan dan pelajaran hidup di dalam usaha kami untuk membentuk pemimpin masa hadapan,” ujarnya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Khidmat masyarakat

Program itu merupakan inisiatif utama tanggungjawab sosial korporat oleh Danajamin Nasional Berhad dengan kerjasama Yayasan Pintar.

Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan Program Kepimpinan Danajamin100, para pelajar ditugaskan menjalankan Projek Komuniti untuk memupuk semangat khidmat masyarakat dalam kalangan peserta.

Pelajar telah dibahagikan mengikut sekolah masing-masing dan diberikan tempoh tiga bulan untuk merancang serta melaksanakan projek mereka.

Walaupun mempunyai masa yang singkat, projek-projek yang dijalankan memberi makna yang tersendiri kepada komuniti tersebut.

Antara projek yang dijalankan termasuklah pemberian bantuan kepada rumah anak-anak yatim, rumah orang tua serta gelandangan.

Pada majlis graduasi yang berlangsung di Melaka itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks KLIA, Nilai, Negeri Sembilan, Wan Nurazra Marsya Wan Ahmad dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Danajamin100.

Anugerah khas itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang dan nilai positif yang ditonjolkan dalam kalangan rakan-rakannya.

Berkongsi mengenai pengalamannya, Wan Nurazra berkata, Danajamin100 telah memberikan semangat dan keyakinan untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk mencapai impian.