Hampir setiap hari ada sahaja penyebaran berita palsu dilakukan sama ada oleh individu ataupun kumpulan di negara ini.

Apa yang menyedihkan ialah penyebaran berita palsu itu dilakukan sendiri oleh ahli masyarakat Malaysia dan ia semata-mata untuk memberikan gambaran negatif kepada individu, kumpulan, masyarakat dan yang lebih buruk lagi kepada negara ini.

Masyarakat Malaysia seharusnya sedar, budaya penyebaran berita palsu ini jika tidak diperangi dengan sebaik mungkin, ia akan menjadi barah kepada kemajuan, keharmonian dan kecemerlangan negara tercinta.

Kehadiran media sosial berteknologi tinggi memburukkan lagi keadaan kerana sebarang berita palsu yang dimuat naik dalam media sosial akan tersebar ke seluruh dunia dalam masa yang amat singkat.

Oleh demikian, seluruh rakyat Malaysia perlu menilai terlebih dahulu setiap berita yang diterima, terutamanya melalui media sosial agar tidak tertipu dengan agenda mereka yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat tiga sebab utama mengapa budaya penyebaran berita palsu ini mesti diperangi habis-habisan.

1. Punca perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia

Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama mempamerkan cara hidup yang harmoni sejak merdeka iaitu bermula tahun 1957.

Namun, suasana harmoni ini tidak mungkin dapat dikekalkan pada masa hadapan jika budaya penyebaran berita palsu ini tidak diperangi segera.

Sejak kebelakangan ini, terdapat individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab sering kali menyebarkan berita palsu mengenai bangsa dan kepercayaan masyarakat berbilang kaum.

Isu mengenai kepercayaan dan agama sering dimanipulasikan agar wujud rasa kebencian serta buruk sangka dalam kalangan masyarakat.

Perkara ini juga sanggup dilakukan oleh mereka untuk mendapatkan kuasa politik dan pengaruh ataupun ingin memastikan segala kemajuan serta keharmonian yang dikecapi oleh masyarakat musnah dan hancur pada masa hadapan.

2. Punca kebencian kepada kerajaan

Pelbagai isu dan berita dimanipulasikan oleh individu serta kumpulan yang tertentu untuk memberikan gambaran bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah melakukan pelbagai kesalahan dan kerosakan.

Mereka amat mengharapkan agar masyarakat Malaysia akan percaya dengan penyebaran berita yang akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Masyarakat Malaysia seharusnya bijak untuk menilai antara permata dan kaca. Sememangnya mudah bagi pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan itu dan ini kepada kerajaan.

Memang mudah untuk mereka menaburkan janji manis bagi melakukan yang terbaik daripada apa yang ada pada hari ini.

Persoalannya, individu dan kumpulan ini tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk membuktikan kebenaran kata-kata mereka.

Mereka hanya mampu berbekalkan kepada informasi palsu yang direka dan janji-janji manis kepada masyarakat untuk meraih sokongan.

3. Senjata utama musuh negara

Musuh negara sememangnya sedar bahawa untuk memasuki dan mencampuri hal ehwal pentadbiran di negara ini merupakan suatu perkara yang mustahil.

Justeru, cara yang paling mudah untuk mencapai matlamat mereka adalah dengan menggunakan rakyat di negara ini bagi menyebarkan berita palsu yang mereka sediakan.

Tujuannya tidak lain adalah untuk memberikan gambaran negatif agar pihak pelabur takut untuk melabur di negara ini. Apabila ini berlaku, peluang pekerjaan mungkin akan berkurangan.

Namun, usaha mereka ini tidak akan berjaya sekiranya masyarakat Malaysia sendiri tidak membantu mereka melakukannya.

Adalah sesuatu perkara yang amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sanggup diperkudakan oleh pihak musuh bagi menghancurkan negara tercinta ini.

Konklusinya, budaya penyebaran berita palsu ini seharusnya tidak wujud kerana ia bertentangan dengan ajaran agama rasmi di Malaysia.

Islam telah pun menggariskan bahawa sebarang penyebaran berita palsu merupakan kesalahan yang besar kerana implikasinya bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi apa yang lebih membimbangkan ia akan merosakkan serta memporak-perandakan masyarakat serta negara yang terlibat.

Semestinya, Malaysia yang menuju kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050 tidak mahu memperjudikan nasibnya.

Justeru, seluruh masyarakat Malaysia seharusnya bersatu bersama-sama kerajaan untuk menghapuskan penyebaran berita palsu ini daripada berlaku di negara tercinta ini.

Semoga Malaysia bebas daripada penyebaran budaya palsu ini pada masa hadapan.