Pelbagai kaedah dan strategi telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan agenda dan matlamat tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya.

Semua matlamat dan strategi ini telah diletakkan di bawah satu inisiatif yang dikenali sebagai Transformasi Nasional ataupun TN50.

Hasrat murni kerajaan untuk melihat masyarakat di negara ini menikmati kesenangan dan keselesaan tinggal di sebuah negara yang maju serta berpendapatan tinggi mungkin terjejas sekiranya budaya buruk masih menjadi amalan oleh sebahagian masyarakat di negara ini.

Terdapat tiga jenis perangai buruk yang akan membantutkan usaha murni kerajaan untuk menjadikan negara bertuah ini sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Tiga jenis perangai tersebut ialah budaya hasad dengki, fitnah dan percaya kepada berita khabar angin.

Hasad dengki

Budaya ini sudah pun menjadi amalan dalam kalangan masyarakat di Malaysia sejak sekian lama. Sifat negatif ini seolah-olah sudah menjadi budaya kepada sebahagian masyarakat di negara ini.

Hasad dengki ialah sifat yang tidak senang atau suka melihat orang lain berjaya. Pelbagai kaedah akan dilakukan untuk memastikan agar kejayaan yang dimiliki oleh individu tersebut dihapuskan. Sifat hasad dengki ini merosakkan perpaduan masyarakat. Salah satu kaedah yang wajar dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan budaya hasad dengki dihapuskan daripada menjadi amalan ialah dengan meletakkan keyakinan kepada ketentuan dan rezeki yang telah ditetapkan kepada seseorang.

Dalam Islam, setiap yang berlaku adalah satu ketentuan dan pastinya ada hikmah di sebaliknya. Keyakinan kepada hakikat ini sahajalah yang akan menghapuskan budaya hasad dengki dalam sesebuah masyarakat.

Fitnah

Budaya fitnah ialah sifat mereka cerita dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah atau status seseorang. Budaya fitnah ini wujud akibat sifat hasad dengki yang hidup di dalam diri seseorang.

Budaya fitnah ini sekiranya menjadi amalan, akan merosakkan kehidupan seseorang yang tidak bersalah dan meruntuhkan sesebuah organisasi dipimpin. Budaya fitnah ini menjadi semakin serius dengan wujudnya pelbagai kemudahan media sosial pada hari ini.

Ramai individu atau kumpulan yang menjadi mangsa fitnah ini tersungkur dalam kerjaya dan agenda hidup masing-masing. Tidak kurang ada yang berpisah dengan pasangan masing-masing.

Nilai semula setiap informasi diterima sebelum mempercayai sama ada maklumat yang diterima itu benar atau sebaliknya. Kaedah yang terbaik ialah dengan merujuk kepada sumber asal maklumat itu datang dan tidak menularkan maklumat diterima.

Percaya kepada khabar angin

Pada era media sosial pada hari ini, semua maklumat mudah disebarkan tanpa sebarang tapisan.

Ada sebahagian besar maklumat yang disebarkan itu hanyalah maklumat yang direka-reka untuk kepentingan individu atau kumpulan. Berita seperti salah seorang artis ini meninggal dunia, tsunami akan berlaku, harga rumah akan naik, ekonomi negara akan muflis dan sebagainya adalah sebahagian daripada berita khabar angin yang sering disebarkan melalui media sosial pada hari ini.

Konklusinya, untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050, masyarakat di negara ini seharusnya menolak secara total semua budaya buruk yang akan merosakkan masa depan negara ini.

Justeru, adalah wajar kepada setiap ahli masyarakat melakukan transformasi diri untuk memastikan ketiga-tiga budaya buruk ini dihapuskan daripada amalan hidup.

Apabila masyarakat di negara ini sudah bersih daripada budaya tersebut, pastinya Malaysia mampu terbang tinggi setanding dengan negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Taiwan dan sebagainya.

Semoga Malaysia mampu mencapai matlamat tersebut.