Mata pengunjung pasti terpaut pada keindahan kira-kira 70 karya yang tergantung rapi di ruang pameran Gelorasa di Slate @ The Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur.

Pameran seni kontemporari Gelorasa yang berlangsung dari 15 hingga 24 November lalu itu menggamit rasa teruja mereka yang berkunjung.

Garis-garis halus bersalut warna-warni berselerak mengisi ruang kanvas putih menimbulkan pelbagai persoalan pada mata yang memandang.

Saat dihampiri dan diamati secara dekat, ketelitian karya-karya itu benar-benar mengagumkan.

Contengan-contengan tebal itu cuba mengungkap kisah silam kehidupan si empunya karya.

Pengalaman

Penganjur yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Trigon Empire Studio Sdn. Bhd., Amin Razak berkata, pameran itu mengangkat karya pelukis tempatan ternama iaitu Sanip Lasman, 80, atau mesra di panggil Pak Sanip yang berasal dari Johor.

“Pameran solo ini adalah cetusan idea dan permintaan anaknya sebagai hadiah ulang tahun yang ke-80 bapanya.

“Pelbagai karya yang setanding dengan pelukis antarabangsa sejak tahun 1960-an sehingga sekarang dipamerkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mendekati lelaki separuh abad bernama Pak Sanip itu, ternyata sesiapa sahaja akan berasa kagum dengan sifat rendah diri yang dimiliki.

“Karya-karya yang dipamerkan ini berkisar pengalaman hidup saya sejak tahun 1960-an. Saya mencuba pelbagai bentuk seni sebelum ini dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih kepada abstrak serta landskap.

“Justeru, karya-karya yang saya hasilkan ini menggabungkan falsafah hidup dan alam semula jadi kerana setiap satu karya mempunyai nilai sentimental tersendiri,” katanya.

Mengimbau sejarah pembabitannya dalam bidang seni lukis, Pak Sanip berkata, minat yang lahir sejak kecil mendorongnya untuk terus mengembangkan bakat dimiliki.

“Saya mula melukis sejak berusia tujuh tahun iaitu sebelum perang Jepun.

“Pada waktu petang ketika menanti matahari terbenam, saya gemar duduk di tepi Stesen Kereta Api Bukit Chagar, Johor Bharu untuk mencari inspirasi,” ujarnya dengan reaksi gembira.

Dalam pada itu, Pak Sanip berkata, kecenderungannya terhadap bidang seni lukis terserlah sejak pada peringkat sekolah.

“Saya menghasilkan pelbagai lukisan dan sering mendapat markah yang tinggi di sekolah. Kejayaan pertama saya ialah memenangi tempat pertama dalam pertandingan melukis poster kebersihan dan dihantar bertanding ke peringkat negeri.

“Saya bersyukur kerana Tuhan kurniakan bakat seni sejak kecil lagi. Melukis dapat menggambarkan perasaan menerusi pilihan warna dan garisan.

“Pilihan ini dibuat melalui pemikiran dan gerak hati,” katanya yang turut meminati seni muzik.

Pelapis

Menurut Pak Sanip, beliau menghasilkan karya dengan mengambil kira faktor cahaya bagi memastikan karya yang dihasilkan benar-benar terbaik.

“Saya sudah berusia dan cahaya itu penting. Saya berhenti seketika dan sambung selepas zuhur sekiranya ditakdirkan awan tidak melindungi matahari,” luah Pak Sanip mengenai hasil karya seninya.

Berbicara mengenai pelapis bidang seni lukis, Pak Sanip hanya tersenyum lebar dan positif bahawa negara ini mempunyai ramai anak seni yang berbakat.

“Saya tidak bimbang dan khuatir akan kekurangan pelapis bidang seni lukis kerana kita sudah mempunyai ramai yang berbakat,” jelasnya.