Sewaktu menjengah masuk ke dalam ruang utama taman asuhan kanak-kanak atau taska melalui pintu gelangsar itu, kira-kira 30 murid berusia dua hingga lima tahun kelihatan sabar menunggu arahan guru mereka dalam barisan-barisan masing-masing.

Kesemua mereka tampak teruja mengenakan busana berwarna-warni lengkap dengan aksesori dan kebanyakan murid lelaki tampil memakai songkok serta samping sebagai pelengkap gaya.

Pengusaha Taska Na’il Uwais, Nadiah Daud berkata, buat julung-julung kali pihaknya menganjurkan permainan peranan atau berkonsepkan role play bertemakan Hari Raya Aidilfitri untuk memberi pendedahan kepada murid-murid bagi merasai suasana lebaran beberapa hari sebelum perayaan sebenar berlangsung pada 15 Jun lalu.

Tingkat keyakinan

Beliau berkata, sebelum ini, murid-murid berkenaan pernah melakukan aktiviti role play seperti jual beli dan bermain masak-masak.

“Menerusi aktiviti kali ini, mereka dapat memahami situasi sebenar Hari Raya Aidilfitri dan ia diharapkan membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran sosial murid-murid.

“Antara pengisian program ini ialah acara memasang pelita, mengacau dodol olok-olok, bermain bunga api, bersalam-salaman selain dihidangkan dengan juadah hari raya seperti ketupat,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nadiah yang merupakan graduan bidang fesyen dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing bercerita, taska tersebut menerapkan model pendidikan Montessori yang diasaskan Maria Montessori iaitu seorang tokoh pendidikan di Rom, Itali pada abad ke-20.

Konsep itu membolehkan sesi pembelajaran murid-murid lebih fleksibel dan memberi peluang kepada murid-murid berfikiran kreatif.

Pada masa yang sama, mereka melakukan aktiviti yang diatur tanpa terikat kepada silibus, jadual waktu dan tidak mempunyai banyak peraturan.

Ibu kepada seorang kanak-kanak yang bernama Na’il Uwais Mohd. Fazli itu menambah, dia mendapat ilham membuka dan menamakan taska tersebut sempena nama anak lelakinya kira-kira empat tahun lalu.

Ini kerana dia ingin mendidik sendiri puteranya itu.

“Harapan saya ialah selain berfungsi sebagai taksa dan nurseri penjagaan kanak-kanak, ia dapat menyediakan program pengisian yang baik kepada mereka.

“Saya mahu mereka gembira dan menikmati proses prasekolah di sini,” tuturnya.