Sukan nombor satu dunia yang dipertandingkan empat tahun sekali itu bukan sahaja diminati oleh kaum lelaki tetapi insan yang bergelar wanita turut tidak ketinggalan untuk menonton dan menyokong pasukan kegemaran mereka.

Ia termasuklah tiga personaliti wanita Astro, Dayang Zainatul Aqma Abang Zulkarnaian, Reem Shahwa Mohd. Redza dan Edleen Ismail yang teruja dengan penganjuran Piala Dunia kali ini. Ini kerana mereka turut terlibat secara langsung sepanjang kejohanan itu.

Dayang Zainatul Aqma yang mesra dengan panggilan Dayang berkata, Piala Dunia kali ini dia bertugas sebagai pengacara bersama sebelum siaran langsung perlawanan.

Jelasnya, perasaannya cukup berdebar apabila pertama kali memikul tanggungjawab tersebut kerana ia adalah kali pertama dia terlibat secara langsung dalam kejohanan besar itu.

“Tugas ini memerlukan saya membuat analisis perlawanan dan sesi perbincangan dengan penyampai lain sebelum perlawanan berlangsung.

“Oleh itu, saya perlu melakukan kerja rumah terlebih dahulu dengan mengetahui sedikit sebanyak latar belakang pasukan yang akan berentap,” jelas wanita yang berusia 27 tahun itu.

Tanggungjawab

Tambahnya, tanggungjawab yang diberikan itu dianggapnya sebagai satu cabaran dan amanah.

Sementara itu, Reem Shahwa, 32, kali kedua terlibat secara langsung dalam membuat liputan Piala Dunia.

Jelasnya, pengalaman pertamanya adalah empat tahun lalu dengan membuat liputan di Brazil bersama beberapa petugas lain.

“Pada tahun ini, saya terlibat dalam dua program Piala Dunia iaitu membawa pemenang bertuah menyaksikan salah satu perlawanan bola sepak di Rusia dan program vlog yang menceritakan ramalan sempena Piala Dunia kali ini,” jelasnya.

Tambahnya, dia gembira kerana berpeluang membuat liputan Piala Dunia kerana bola sepak merupakan salah satu sukan yang diminatnya.

Reem berkata, minatnya terhadap bola sepak bermula pada umur 10 tahun lagi dan ketika itu dia banyak membeli majalah bola sepak untuk mengetahui perkembangan sukan tersebut.

“Saya sendiri tidak menjangka terlibat dalam tugasan seperti ini. Apabila diberi ruang dan peluang ia sesuatu yang tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Edleen pula begitu gembira kerana masih lagi diberi peluang untuk terlibat dengan menjadi pengacara semasa siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Jelasnya, ini merupakan kali ketiga dia terlibat secara langsung sempena Piala Dunia sejak berkhidmat dengan Astro.

“Sepanjang tiga edisi Piala Dunia, saya diberi peranan yang berbeza dalam membuat liputan.

“Ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, tugas saya lebih kepada wartawan penyiaran yang bertugas di lapangan. Pada Piala Dunia 2014 di Brazil pula, tugas saya lebih kepada membuat liputan berita.

“Bagi Piala Dunia kali ini, saya menjadi pengacara yang bertanggungjawab untuk mengajukan soalan kepada tetamu jemputan sebelum sesuatu perlawanan berlangsung,” jelasnya.