Artikel ini ditulis tidak berniat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak, apatah lagi mengaitkan dengan perkara yang telah berlaku. Malah, jauh sekali untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Tujuan penulis adalah sekadar mahu memberi peringatan dan pengajaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati serta berhemah.

Baru-baru ini orang awam digemparkan dengan kemalangan tragis di Jambatan Pulau Pinang yang meragut nyawa seorang mangsa lelaki berumur 20-an.

Dalam kejadian pada 20 Januari lalu itu, sebuah kenderaan utiliti sukan, Mazda CX-5 yang dipandu seorang penuntut kolej swasta gagal mengawal kenderaan tersebut sebelum terhumban ke laut setelah berlanggar dengan sebuah Toyota Vios di jambatan berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 20 Januari lalu itu bukan sahaja mengorbankan banyak tenaga dan masa para penyelamat tetapi penduduk Pulau Pinang turut serta terkena tempias.

Kesan

Selama tiga hari itu juga Jambatan Pulau Pinang bertambah sesak dengan jentera penyelamat dan kenderaan orang awam terutamanya penunggang motosikal yang berhenti untuk melihat kerja-kerja menyelamat.

Ekoran itu, ia memberi kesan terutamanya penduduk Pulau Mutiara yang terpaksa menghabiskan banyak masa di dalam kenderaan masing-masing.

Pekerja dan pelajar turut terkesan dengan kesesakan itu sehinggakan ada yang sampai lewat ke tempat kerja serta sekolah.

Selain itu, bagi penduduk yang di tinggal di kawasan Seberang Perai, Butterworth, Sungai Dua dan Permatang Pauh terpaksa menggunakan laluan jauh iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk pulang ke rumah masing-masing.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hampir 30 minit pada hari biasa itu menjadi dua hingga tiga jam disebabkan kesesakan lalu lintas.

Begitu pun, penulis yang turut mengalami keadaan tersebut tidak menyalahkan sesiapa bahkan sangat memahami situasi itu.

Penulis juga pada masa itu mengharapkan semua operasi menyelamat berjalan dengan lancar supaya ia memberi kesenangan dan kegembiraan kepada semua pihak.

Malah, rata-rata mereka yang terlibat memahami perkara yang sedang berlaku itu tanpa membuat sebarang spekulasi atau provokasi.

Bagaimanapun, ada juga segelintir yang tidak bertimbang rasa dan mengeluarkan kata-kata yang berunsur penghinaan kepada pasukan penyelamat.

Lebih teruk lagi, di media sosial juga, netizen turut menimbulkan isu-isu perkauman.

Penulis menasihati netizen agar berhati-hati dalam memuat naik komen yang berunsur negatif kerana setiap perbuatan itu akan memberi kesan buruk kepada semua masyarakat.

Pengajaran

Anda boleh memberikan pandangan tetapi biarlah tepat dan benar. Pandangan negatif yang dilontarkan berkaitan perkauman adalah memberi kesan buruk terhadap keharmonian negara.

Apa yang dikesali dalam peristiwa hitam itu ialah kejadian berkenaan boleh dielakkan jika pemandu itu lebih prihatin dan hati-hati semasa di jalan raya.

Jangan memandu jika berada dalam pengaruh alkohol atau dadah dan seharusnya memandu secara berhemat serta sentiasa hargai nyawa orang lain serta diri sendiri.

Jalan raya bukan tempat untuk berlumba atau melepaskan tekanan.

Kepada pemandu kereta Toyota Vios berkenaan, anda sememangnya tidak dapat mengembalikan nyawa mangsa yang terkorban itu tetapi penulis berharap anda menjadi orang yang lebih baik pada masa akan datang.

Sebagai rakyat biasa, saya simpati terhadap anda tetapi sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Apa sahaja yang dibuat pastikan perbuatan tersebut tidak menyusahkan orang lain. Bagi pengguna yang lain jadikan peristiwa malang itu sebagai satu pengajaran.