Seperti biasa Jalur Gemilang akan dipasang di merata tempat di seluruh negara bagi menghargai kemerdekaan dan lambang Malaysia negara berdaulat.

Penduduk di Jalan Telawi 8, Taman Seri Telawi, Seremban, Negeri Sembilan tidak mahu ketinggalan malah mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang pada 30 Julai lalu.

Mereka menghias rumah dan laluan di sepanjang jalan tersebut dengan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan pada tahun ini.

Salah seorang penduduk, Muhammad Yazid, 58, berkata, program pasang Jalur Gemilang kebiasaannya dianjurkan oleh pihak kerajaan, sektor korporat atau badan bukan kerajaan.

Menyedari hakikat itu, katanya, kira-kira 70 penduduk Jalan Telawi 8 sepakat untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

“Program pasang Jalur Gemilang ini pertama kali kami adakan. Kami mahu mendidik dan mempromosi jiwa merdeka dalam kalangan jiran tetangga.

“Terdapat 23 buah rumah Jalan Telawi 8 dan kesemua pemilik bersetuju untuk bekerja sama menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Teruja

Seorang lagi penduduk, Rohana Jusoh, 49, berkata, selama 20 tahun dia menetap di taman perumahan tersebut, itu merupakan kali pertama program seumpamanya diadakan.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya berasa sangat teruja serta berbangga kerana dapat terlibat dalam kerja-kerja mengibarkan Jalur Gemilang tersebut.

Moskaya Kama Mohamed, 53, pula berkata, penduduk Jalan Telawi 8 melakukan gotong-royong memasang Jalur Gemilang bermula pukul 8.30 pagi.

Jelas beliau, langkah itu secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara jiran dan menanam sifat jati diri dalam kalangan mereka sebagai warga Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Che Ros Abd. Rahman, 54, malah mengambil insiatif menjahit tiga pasang pakaian Jalur Gemilang untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Saya ambil masa seminggu untuk menjahit dan menyiapkan pakaian ini. Modalnya cuma RM100,” katanya.