Idea penanaman secara vertikal ini telah dipelopori negara-negara Eropah dan bagi negara Asia Tenggara, Singapura merupakan antara negara yang telah dilaksanakannya secara meluas.

Kaedah penanaman ini juga boleh dianggap sebagai penyelesaian bagi kekurangan kawasan hijau di bandar.

Pada dasarnya, penanaman cara ini menggunakan konsep hidroponik iaitu dengan cara tanaman dibiak menggunakan medium selain tanah seperti air, sabut kelapa, lecca balls, perlite dan arang.

Tanaman akan ditanam dalam bekas seperti palung air hujan, pasu plastik, botol plastik, kain guni yang dijahit poket dan kotak tanaman.

Bekas tanaman itu akan disusun secara menegak sama ada digantung, disangkut atau dilekatkan pada satu struktur yang teguh seperti dinding batu, dinding kayu dan rangka besi.

Keperluan untuk penanaman vertikal:

1. Lokasi

Faktor lokasi memainkan peranan yang penting bagi menempatkan struktur penanaman vertikal. Lokasi yang ideal adalah berhampiran sumber air, elektrik, cahaya dan saliran. Struktur yang ditempatkan di kawasan terbuka perlulah terdiri daripada bahan yang tahan cahaya, hujan dan tahan lama.

Struktur yang digunakan pula perlu dipasang dengan kukuh supaya tidak roboh ditiup angin kuat.

Sekiranya struktur ditempatkan di kawasan teduhan, bantuan daripada cahaya lampu amat diperlukan.

Siraman tanaman pula boleh dibuat sama ada secara automatik atau manual, dengan saliran diwujudkan bagi mengalirkan sisa siraman supaya tiada takungan dalam struktur.

2. Pemilihan medium

Medium tanaman dipilih mengikut lokasi, keteguhan struktur, reka bentuk bekas tanaman dan sistem penanaman.

Medium seperti cocopeat, peatmoss dan perlite adalah bersifat peroi. Oleh itu, medium perlu dibalut supaya tidak mengotorkan kawasan sekeliling sekiranya struktur berada di dalam bangunan.

Selain itu, medium yang berat selepas menyerap air perlu dikurangkan atau diganti dengan medium yang lebih ringan seperti kain dan span supaya tidak membebankan struktur.

3. Pemilihan bekas tanaman

Ia bergantung kepada jenis struktur, jenis tanaman dan sistem penanaman.

Bagi penanaman vertikal menggunakan rangka besi atau struktur asing, palung air hujan dan kotak tanaman boleh digunakan manakala penanaman vertikal yang digantung atau dilekatkan di dinding batu atau kayu, bekas tanaman yang lebih ringan seperti pasu, botol plastik dan kain guni digunakan bagi meringankan beban.

4. Pemilihan tanaman

Ia bergantung kepada lokasi dan bekas tanaman. Tanaman sayuran seperti bayam, sawi dan kangkung, tanaman herba seperti pegaga, pudina, kesum serta oregano atau tanaman hiasan perlu ditanam di kawasan yang menerima cahaya yang mencukupi.

Bagi tujuan landskap, tanaman boleh diselang-seli mengikut warna, mempunyai estetika, mudah diselenggara dan memberikan hasil cukup dengan sekali tuaian.

5. Reka bentuk dan fungsi

Reka bentuk dan fungsi adalah penting terutamanya bagi pembinaan landskap. Daripada pembinaan struktur bagi menyokong penanaman sehingga kepada pemilihan tanaman yang berwarna-warni, ia perlu dititikberatkan supaya reka bentuk landskap tersusun, cantik dipandang dan dapat memberi ketenangan.

Selain itu, landskap ini juga berfungsi sebagai penyerap haba dan menyejukkan persekitaran.

Penyelenggaraan penanaman secara vertikal:

1. Penyiraman

Kaedah penyiraman perlu dititikberatkan kerana penanaman ini adalah secara menegak. Penyiraman secara titis, kabus atau semburan adalah disyorkan. Penyiraman perlu diberikan secukupnya dan tidak boleh bertakung.

2. Pembajaan

Baja sama ada dalam bentuk cecair atau butiran perlu diberikan kepada tanaman mengikut kadar dan masa yang sesuai. Memandangkan bekas penanaman vertikal yang agak terhad, bantuan baja foliar amat disyorkan untuk disembur terus kepada tanaman.

3. Pangkasan/pembentukan

Ia perlu dilakukan supaya tanaman sentiasa kemas terutamanya bagi tanaman yang menjalar seperti kesum, oregano dan rosemary. Selain itu, ia bagi memastikan saiz tanaman tidak melebihi saiz bekas tanaman.

4. Kawalan penyakit / perosak

Penyakit dan perosak perlu dikawal dengan sentiasa membuang bahagian tanaman yang kering, layu atau rosak. Tanaman juga perlu digilirkan supaya penyakit atau perosak dapat dihapuskan.

Kelebihan penanaman secara vertikal:

1. Ekonomi

Penanaman secara vertikal boleh dilakukan secara besar-besaran seperti membuat kilang tanaman (plant factory). Cara ini dapat menjana ekonomi sesebuah negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah yang diimport dari negara luar.

2. Kesihatan

Tanaman yang dihasilkan melalui kaedah penanaman vertikal dapat memberi kesihatan yang baik kerana penggunaan baja dan racun mampu dikawal sepenuhnya. Selain itu, ciri-ciri penanaman vertikal yang unik dan warna tanaman dapat memberikan ketenangan pandangan serta mengindahkan pemandangan.

3. Alam sekitar

Penanaman secara taman boleh membantu merendahkan suhu persekitaran melalui proses penyejatan daripada tumbuh-tumbuhan. Selain itu, ia juga bertindak sebagai penapis partikel habuk, sekali gus dapat memperbaiki kualiti.