Merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan milik tokoh perniagaan terkenal, Ananda Krishnan, UTSB komited dalam menyuburkan industri seni lukis itu walaupun ia kelihatan sudah ditelan zaman pada masa kini.

Hasil daripada itu, edisi kali ini terus mendapat perhatian ramai sekali gus mencatatkan kenaikan besar dari segi bilangan peserta yang lebih 1,500 orang yang melibatkan 595 karya lukisan terpilih selain disenarai pendek bagi tujuan pengadilan.

Edisi ke-19 itu juga memperlihatkan penyertaan daripada 26 institusi pengajian tinggi terkenal seluruh negara, termasuk penyertaan daripada enam institusi baru dari Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Operasi UTSB, Lim Ghee Keong memberitahu, pertandingan tersebut menggalakkan belia di seluruh pelosok negeri untuk berbangga dengan warisan negara seperti melalui seni lukis.

“Kami di UTSB amat teruja untuk meneruskan tradisi ini dan memberi inspirasi kepada generasi baharu pelukis muda yang berbakat. Amat sayang kalau warisan negara kita hilang begitu sahaja. Pertandingan ini, sedikit sebanyak dapat menyimpan warisan kita walaupun di dalam bentuk sebuah lukisan.

“Bersama sokongan pengadil, setiap tahun kami menggalakkan bakat muda kita agar dapat mencabar tanggapan mereka dan juga tanggapan masyarakat terhadap seni lukisan bertemakan warisan yang semakin diabaikan.” katanya sebelum menyampaikan hadiah bernilai RM59,500 kepada para pemenang.

Pada edisi kali ini, barisan pengadilan terdiri daripada Pakar Cat AirAsia, Chin Kon Yit; arkitek pemuliharaan dan pakar warisan budaya terkenal, Laurence Loh dan penasihat organisasi pendidikan seni dan warisan, Dr. Kim Phaik Lah.

Akademi Seni Dasein, Wangsa Maju, Kuala Lumpur telah berjaya tampil sebagai institusi pengajian tinggi yang terbaik dengan membolot enam hadiah utama manakala tempat kedua dimenangi oleh Akademi ATEC, Pulau Pinang dengan memenangi lima hadiah dalam edisi kali ini.