Kerjasama tersebut membabitkan program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) khusus bagi anggota BBP menyambung pelajaran dalam bidang yang mereka minati.

Bagi program PJJ UUM ini, lima kursus yang ditawarkan kepada anggota bomba yang ingin melanjutkan pelajaran ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Komunikasi, Kewangan dan Perbankan Islam, Seni Kreatif serta Pengurusan Perniagaan.

Menurut Pengurus Program PJJ UUM, Ali Badron Mokhtar, peluang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) kepada penjawat awam adalah luas dan UUM menyediakan segala kemudahan dengan syarat tiga tahun pengalaman kerja dan mendapat keputusan kepujian dalam Bahasa Melayu dan tiga subjek lain serta lulus Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, Ketua BBP Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, [email protected] Musa berkata, idea untuk ‘membuka’ ruang kepada UUM mendekati warga balai tersebut secara besar-besaran tercetus hasil seruan pengurusan tertinggi JBPM yang mahu anggotanya sentiasa berusaha menambah baik latar belakang pencapaian akademik mereka.

Bahagi masa

Menurutnya, beliau amat terbuka dalam memberi peluang kepada anggotanya belajar sambil bekerja, namun mereka harus melakukan pembahagian jadual tugas dan pengajian dengan baik.

“Jabatan memang menggalakkan semua anggota terus meningkatkan pencapaian akademik supaya pengalaman dan tahap pendidikan mereka apabila digabungkan boleh memantapkan lagi pengurusan dan pelaksanaan kerja pada masa depan.

“Sebelum ini ramai kurang peka dan tidak tahu yang mereka sentiasa berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti, maka inisiatif ini diharap dapat membuka mata mereka untuk ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ujar beliau lagi, sempena program UUM dengan balainya, seramai 10 daripada keseluruhan 53 anggota BBP Pelabuhan Klang menyerahkan borang untuk melanjutkan pelajaran di UUM bagi sesi kemasukan Julai 2019.

Dalam pada itu, menurut seorang anggota yang menyertai program PJJ UUM, Hasmizam Abd. Halim, 24, langkah UUM mendekati pasukan tersebut banyak membantunya memahami keperluan dan fleksibiliti antara kerjaya dan akademik sebelum bergelar pelajar semula.

Beliau yang bakal menyambung pengajian dalam jurusan Pengurusan Awam pada sesi kemasukan Julai tahun depan bertekad, ilmu yang akan dipelajari nanti boleh digunakan untuk memantapkan lagi operasi dan kedudukan JBPM pada masa depan.

“Lagipun saya masih bujang dan tidak terikat dengan komitmen keluarga. Ini adalah masa terbaik saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya berharap kawan-kawan lain juga mengambil peluang ini supaya kita sama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan bagi membantu operasi JBPM pada masa hadapan,” katanya.