Ada pelajar yang bersetuju dan ada pula yang lantang membantah. Jelas kelihatan, kebebasan bersuara dipraktikkan oleh mereka.

Akhirnya penulis membuat kesimpulan, seseorang itu harus diberikan peluang kedua walaupun pernah melakukan kesilapan.

Walaupun kedengaran suara-suara yang kurang berpuas hati tetapi penulis masih dengan pendirian bahawa setiap insan harus diberikan peluang kedua dan hukuman gantung sampai mati bukanlah jalan penyelesaiannya.

Sehari kemudian apabila penulis menghadiri sebuah program di tempat kerja, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail telah memberikan ucapan berkaitan seorang pemuda.

Beliau telah memberikan peluang kedua kepada pemuda berkenaan untuk berjaya dalam bidang pendidikan.

Asma turut menekankan jika seseorang itu mempunyai kedudukan dan kuasa, maka ambil kuasa itu untuk memberikan peluang kedua kepada mereka yang memerlukan.

Berbicara mengenai peluang kedua ini, penulis ingin menarik perhatian pembaca mengenai kisah V. Kathiresan dari India yang pernah bertugas selama 10 tahun sebagai pemandu bekas Presiden India, A. P. J. Abdul Kalam.

Kini, Kathiresan merupakan pemegang doktor falsafah dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej di Tirunelveli, India.

Beliau yang pada mulanya merupakan seorang yang gagal dalam pelajaran telah diberikan peluang dan motivasi oleh sejarawan, Abdul Kalam sehingga menjadi orang yang berjaya.

Tidak matang

Peluang kedua merupakan harapan baharu untuk mereka yang pernah tersalah langkah dalam kehidupan.

Mungkin seseorang itu membuat kesalahan semasa usia muda seperti membuat keputusan secara tergesa-gesa, tidak matang, memberontak, tidak memahami adat dunia, terpengaruh dan kesilapan orang lain.

Jadi pendapat penulis, salah untuk menghukum mereka seumur hidup seperti sekali tersilap langkap akan memberikan pengajaran seumur hidup.

Individu seperti ini jika dibentuk dengan baik mungkin boleh berjaya dan mencipta keajaiban yang kita mungkin tidak pernah terfikir.

Jika tidak mampu membantu dari segi wang ringgit pun, mungkin sekadar memaafkan, membimbing, tunjuk ajar, motivasi atau berkongsi informasi untuk membolehkan mereka menjalankan kehidupan secara normal pun sudah memadai.

Kalau kita merupakan golongan yang terkesan akibat perbuatan seseorang individu berkenaan dan diminta untuk memaafkan serta memberikan peluang kedua, memang ia merupakan satu situasi yang amat menyakitkan.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Itu memang penulis setuju tetapi perlu kawal hati anda, fikir secara rasional, memaafkan dan teruskan hidup anda.

Percayalah Tuhan akan balas kebaikan hati anda dan hidup pasti tenang.

Bagi mereka yang mendapat peluang kedua pula, jadikan kesempatan itu untuk bertaubat dan muhasabah diri.

Pelajari daripada pengalaman lampau dan jangan ulangi lagi kesilapan lalu. Kesalahan dan kegagalan pada masa lampau jadikan panduan kepada individu lain sebagai pengajaran agar tidak mengikut jejak langkah anda.

Mereka yang telah berjaya selepas mendapat peluang kedua pula, kini merupakan masanya untuk anda menolong dan membuka peluang kedua kepada insan lain yang memerlukan.

Tolonglah seramai mungkin yang anda mampu supaya orang yang mendapat peluang kedua itu turut mengecapi kejayaan yang sama.

Ingat, bukan semua orang bertuah untuk dapat peluang kedua dan ia mungkin diperoleh sekali sahaja.

Jadi, gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menginsafkan dan memajukan diri. Selamat bermaafan.