Malah, mereka akan berlumba-lumba mengisi sebanyak mungkin borang permohonan kemasukan ke IPT bagi mencapai status mahasiswa yang dilihat lebih tinggi tarafnya berbanding terus memasuki alam pekerjaan selepas tamat sekolah.

Namun, sering kali kita lihat mereka yang gagal menerima tawaran melanjutkan pengajian ke IPT akan berasa kecewa, sekali gus beranggapan peluang untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan sudah berakhir.

Lebih teruk lagi apabila kegagalan mereka turut disertai dengan kutukan rakan-rakan, apatah lagi ahli keluarga sendiri sehinggakan ada antara mereka yang berasa diri umpama sudah tidak berguna.

Sebenarnya, kegagalan dalam bidang akademik di peringkat sekolah bukanlah penamat bagi seseorang dalam membina masa depan yang cerah.

Ini kerana, pencapaian akademik yang cemerlang hanyalah bonus dalam membuka peluang yang luas untuk meraih kerjaya yang diidamkan.

Bagi mereka yang bijak dan mempunyai kekuatan diri untuk berjaya, bidang vokasional merupakan pilihan tepat kerana ia turut menjanjikan peluang kerjaya menarik di samping pendapatan yang tidak kurang hebatnya.

Menyedari bidang tersebut menawarkan peluang yang besar dalam dunia kerja, seorang remaja, Nur Haziq Mohamad Nor, 19, memilih untuk menyertai pengajian dalam bidang vokasional yang ditawarkan oleh syarikat kejuruteraan Muehlbauer Technologies Sdn. Bhd. (Muehlbauer) yang beroperasi di Ayer Keroh, Melaka.

“Selepas tamat SPM, saya pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti awam tetapi malangnya permohonan saya gagal.

“Disebabkan minat yang terlalu mendalam terhadap bidang kejuruteraan, saya memohon untuk mengikuti pengajian yang ditawarkan oleh syarikat Muehlbauer dan akhirnya diterima.

“Saya beruntung terpilih mengikuti program tersebut kerana setiap pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bakal memperoleh dua sijil pengiktirafan sekali gus,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh baru-baru ini.

Malah, dia yang telah mengikuti program pengajian itu sejak Julai tahun lalu merupakan antara dua pelajar terbaik yang dihantar ke Roding, Jerman bagi mengikuti kursus intensif jangka pendek di ibu pejabat Muehlbauer di negara tersebut baru-baru ini.

Keistimewaan

Menurut Jurulatih Bahagian Automasi Muehlbauer, Muhammad Ashraf Mohamed Haniffah, program pengajian vokasional yang ditawarkan sejak September 2016 itu membolehkan pelajar mengikuti pengajian peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di Institut Jerman-Malaysia (GMI) di kampus Bangi, Selangor selain menjalani latihan industri secara berkala di syarikat berkenaan.

“Menariknya, dalam tempoh tiga tahun setengah, para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bukan sahaja memperoleh DLKM Tahap 5, tetapi pada masa sama akan dianugerahkan persijilan Latihan Dual Vokasional Jerman (GDVT) yang dikeluarkan oleh German Chamber of Commerce (GCC), sebuah badan yang sangat berpengaruh di Jerman dalam bidang industri.

“Walaupun bergelar pelajar, mereka diberi keistimewaan oleh pihak syarikat hampir menyamai apa yang diperoleh kakitangan syarikat, termasuklah elaun kerja, rawatan kesihatan, riadah dan sebagainya,” katanya.

DLKM merupakan salah satu cabang program pendidikan kemahiran di bawah program Penggunaan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dilaksanakan oleh JPK bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang industri.

Selain DLKM, NOSS turut meliputi program yang menawarkan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (Tahap 4) selain sistem perantisan melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dijalankan di industri dan institut latihan kemahiran.

Mengulas lanjut mengenai program pengajian di Muehlbauer, pembantu jurulatih, Borhan Yusoff berkata, mereka yang mengikuti program tersebut dianggap mempunyai tahap kemahiran lebih tinggi berbanding pelajar di institut kemahiran lain.

Ini kerana program yang ditawarkan mengutamakan latihan di industri berbanding kelas teori dengan melibatkan komposisi dua bulan pengajian di GMI dan empat bulan latihan di Muehlbauer bagi setiap semester sepanjang tempoh pengajian.

Lebih menarik katanya, pelajar yang memperoleh sijil GDVT yang dikeluarkan oleh GCC mempunyai kelebihan untuk bekerja di mana-mana syarikat milik pelabur Jerman termasuk di negara itu sendiri kerana sijil tersebut sememangnya telah diterima pakai dan diperakui oleh pemain industri di negara berkenaan.