Disebabkan itu, terdapat segelintir individu yang mencari jalan keluar dengan menceburi bidang perniagaan.

Hinggakan mereka mampu menjana pendapatan yang bukan sahaja bagi menampung perbelanjaan harian malah keselesaan seisi keluarga.

Bagaimanapun, memulakan perniagaan tidaklah semudah yang disangka.

Sekiranya individu itu tidak mengikut jalan yang tepat, dikhuatiri akan berdepan dengan laluan sukar sehingga akhirnya cita-cita yang baru dibina terkubur begitu sahaja.

Memandang serius perkara tersebut, sebuah seminar bertajuk Seharum Mawar Sekuat Besi diadakan di Oasis Square, Ara Damansara, Selangor baru-baru ini.

Ia merupakan seminar percuma dengan pengkhususan terhadap topik berkaitan perniagaan yang dihadiri lebih 40 orang peserta.

Menurut ketua penganjur seminar Seharum Mawar Sekuat Besi, Dr. Ilyana Ibrahim, program itu merupakan medan yang menghimpunkan para usahawan dengan perbincangan topik mengenai peluang menjana pendapatan khususnya bagi golongan wanita.

Peluang perniagaan

“Menerusi program Seharum Mawar Sekuat Besi, peserta berpeluang mendalami ilmu dan bertemu pakar dalam bidang perniagaan.

“Dari situ, minda individu akan lebih terbuka melihat peluang-peluang perniagaan yang selama ini telah wujud di sekeliling mereka namun belum disedari.

“Selain memberi pendedahan kepada golongan wanita berkaitan selok belok perniagaan, kami juga buka khidmat rundingan secara percuma agar boleh dijadikan sumber rujukan membina jenama sendiri yang berjaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Selangor baru-baru ini.

Berbekalkan ilmu yang dikongsikan oleh pengusaha produk tempatan pada seminar itu, peserta kemudiannya dibimbing untuk menghasilkan produk sendiri sama ada dari rumah mahupun daripada kilang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Ilyana selaku Ketua Pengarah Pusat Pembangunan Produk Ilana Consultancy memberitahu, penghasilan produk dari rumah sangat mudah untuk dibangunkan.

Begitu pun, kebanyakan pengusaha produk tempatan memandang sambil lewa aspek kebersihan ketika menghasilkan sesuatu produk.

Katanya, pemprosesan sesuatu produk dari rumah lebih mudah terdedah kepada mikrob yang akhirnya akan mengganggu keputusan ujian makmal.

Oleh itu, pengusaha produk perlu tahu mendalami ilmu berkaitan pengurusan syarikat, pendaftaran produk, audit, geran termasuk pensijilan yang diiktiraf undang-undang berkaitan.

Ia bukan sahaja penting malah memudahkan urusan untuk memasarkan produk sehingga ke luar negara.

Selain itu, peserta juga didedahkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang dalam negara ketika mendaftarkan produk.

“Perkara ini nampak remeh, tetapi sudah banyak produk-produk tempatan yang kemudiannya ditarik balik disebabkan penggunaan bahan beracun dan tuntutan yang melampau.

Inspirasi

“Kita mahu membimbing peserta yang hadir pada hari ini sehingga menjadi usahawan yang berpengetahuan luas.

“Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk membina jaringan perniagaan kepada individu yang baru sahaja menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” jelasnya.

Penceramah slot Remedi Dari Dapur pada seminar itu, Noor Haryana Pazim berkata, tumbuhan semula jadi sedikit sebanyak membantu menyuntik inspirasi kepada golongan wanita untuk menceburi bidang perniagaan.

Jelasnya, dengan memiliki ilmu berkaitan tumbuhan semula jadi, golongan wanita khususnya ibu tunggal juga mampu menjana pendapatan sampingan.

“Kebanyakan masyarakat moden kini tidak mengetahui faedah khusus tumbuhan yang sebenarnya memberi manfaat secara semula jadi kepada manusia.

“Hakikatnya, pelbagai manfaat kesihatan yang boleh kita manfaatkan dan kemudian dikomersialkan.

“Secara tidak langsung, ia boleh mendidik masyarakat untuk mengamalkan aktiviti bercucuk tanam,” jelasnya.

Program Seharum Mawar Sekuat Besi juga akan meneruskan siri jelajah seminar ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 017-237 2681 atau 013-343 6019.