Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pihaknya mendapati, ada peluang yang baik untuk memasarkan pakej umrah kepada belia.

“Sejak kami beroperasi mulai Oktober lalu, kami mendapati, kira-kira 20 peratus daripada penumpang adalah golongan belia berusia di bawah 30 tahun.

“Jika ditanya mengapa golongan belia masih tidak menunaikan umrah, alasan yang diberikan ialah tidak bersedia dan tidak cukup perbelanjaan.

“Amal berhasrat untuk mengubah persepsi itu dan memudahkan perjalanan umrah golongan belia kerana kami melihat mereka adalah prospek yang baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat Into Taqwa.

Turut hadir pengasas Into Taqwa, Fara Othman.

Menurut Hazman, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak berganding bahu mempromosikan pengembaraan umrah kepada Muslim dengan tumpuan khas diberikan kepada belia.

Pendek jangka masa

Ujarnya, antara perkara yang dipertimbangkan ialah memendekkan jangka masa pakej umrah.

“Kebiasaannya, tempoh untuk melakukan umrah adalah 12 hari 11 malam, namun menerusi kerjasama ini, kami mungkin memperkenalkan pakej yang lebih pendek bagi mengurangkan kos untuk golongan belia,” tambahnya.

Selain itu, Into Taqwa juga mahu membekalkan kandungan Islamik dalam sistem hiburan penerbangan pesawat di bawah Amal untuk memberikan nilai tambah kepada jemaah.

Amal merupakan projek pertama seumpamanya di dunia oleh syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan khas untuk ibadat haji dan umrah menerusi penerbangan ke Jeddah dan Madinah dari Kuala Lumpur dengan pesawat Airbus A380 dan A330.

Model perniagaan Amal ialah perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan penjualan tiket kapal terbang kepada ejen umrah bertauliah.

“Kami menjual tiket kapal terbang dan kemudian ejen akan menyediakan kemudahan lain seperti penginapan mengikut tawaran syarikat masing-masing.

“Setakat ini kami berurusan dengan 40 ejen bertauliah dan kami berharap jumlah itu dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, kekerapan penerbangan Amal adalah pada satu hingga tiga penerbangan sehari bergantung kepada musim dan beliau berharap dapat meningkatkan jumlah itu kepada empat penerbangan sehari pada musim puncak.

“Amal juga bercadang untuk memanfaatkan sepenuhnya platform digital dengan mewujudkan laman web selain applikasi telefon pintar sendiri.

“Ia akan menjadi pusat sehenti untuk pakej, perkhidmatan dan harga untuk menunaikan umrah dengan kerjasama bersama ejen-ejen bertauliah,” tambahnya.

Menerusi jualan tiket umrah itu, Amal dijangka menyumbang 10 peratus daripada keuntungan MAB dalam jangka masa tiga tahun.