Rata-rata mereka memilih berhijrah ke ibu kota mencari pekerjaan yang dianggap serasi dengan jiwa mereka. Namun, tidak bagi Said Pawel, 35.

Dia memilih untuk meneruskan legasi keluarganya yang menghasilkan parang Bajau yang juga merupakan identiti penduduk Kampung Siasai Jaya, di Kota Belud, Sabah.

“Bukan saya sahaja malah adik-adik lelaki, sepupu serta hampir 90 peratus anak muda di sini terlibat dengan kerja kraf ini.

“Masing-masing meneruskan tradisi keluarga yang merupakan simbolik masyarakat Bajau sejak dahulu lagi,” katanya.

Said ditemui di Pusat Inkubator Kraf di Kampung Pirasan yang terletak kira-kira 10 minit dari Pekan Kota Belud, bersempena Projek Kraf KampungKu (KKK) Kota Belud anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Seni jiwa

Menurut Said, parang Bajau memiliki seni ukiran seperti bunga matahari dan paku pakis pada sarung, hulu serta bilah parang yang unik berbanding parang lain membuatkan ramai pelancong tertarik.

“Orang cakap kunjungan ke Kota Belud dianggap tidak lengkap tanpa membeli parang Bajau. Itulah yang menaikkan semangat saya untuk memelihara warisan kami.

“Saya bermula dengan mempelajari teknik pembuatan logam daripada datuk dan ayah pada usia 15 tahun. Dari situ saya tahu parang Bajau ini sentiasa mendapat permintaan pelanggan dari dalam dan luar negara sekali gus yakin legasi ini mempunyai peluang yang cukup cerah,” jelasnya yang mula serius menghasilkan parang Bajau pada tahun 2000.

Pernah merangkul gelaran Jaguh Tempa 2016 pada Festival Kraf Johor 2016, Said turut melakukan inovasi termasuk menghasilkan parang kembar dua yang digunakan untuk penyembelihan dan melapah.

Sementara itu, Ebin Adim, 78, pula menganggap pembuatan parang Bajau adalah sebagai seni jiwa yang tiada tolak bandingnya.

Dinobatkan sebagai Tokoh Ulung-Pandai Besi oleh Kraftangan Malaysia pada 2012, Ebin menghasilkan parang Bajau sejak berusia 18 tahun lagi.

Selain menghasilkan pelbagai parang seperti parang menebas, parang biasa dan kerambit, beliau turut menghasilkan parang tembaga dan pedang ala samurai yang mendapat permintaan tinggi pelanggan dari seluruh negara.

“Saya menggunakan besi spring kereta untuk membuat mata parang dan tembaga (untuk parang tembaga).

“Selepas besi dipanaskan, ia dibentuk dengan permukaannya diratakan sebelum diukir dan diuji ketajamannya. Kemudian, hulu parang dan sarungnya pula dihasilkan,” terangnya yang memilih kayu malam dan nangka untuk sarung parang.

“Ada pelanggan kami yang sukakan ukiran naga bagi sarung dan hulu parang. Ada juga yang menyukai ukiran bermotifkan bunga,” jelasnya.

Ujarnya lagi, keris, pedang serta parang sinonim dengan masyarakat Bajau. Ia malah menjadi hantaran wajib dalam adat perkahwinan mereka.

Bimbang adat itu mungkin dilupakan suatu hari nanti, beliau turut mengambil tindakan meminta beberapa anak muda kampung berkenaan membantunya menyiapkan tempahan dengan harapan dapat menanam minat yang mendalam kepada generasi di bawahnya.

Namun, keprihatinan pihak Kraftangan Malaysia yang sentiasa memberi galakan dan inisiatif kepada generasi muda untuk menceburi bidang itu ternyata melegakan Ebin.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah, Abdul Halim Ali berkata, pihaknya melalui Projek KKK sentiasa berusaha menyediakan platform bagi anak muda kampung mengembangkan bakat kraf tangan mereka.

“Penyediaan kemudahan pusat inkubator umpamanya memberi bimbingan kepada belia mengenai rekaan produk dan pembangunan promosi.

“Demi kelangsungan kualiti produk logam seperti parang Bajau, kita juga bawakan tenaga pengajar profesional terdiri daripada tokoh usahawan kraf dan bekas penuntut di Institut Kraf Negara untuk dirujuk dengan harapan kemudahan ini akan membantu usahawan kraf di Sabah,” ucapnya.

Ibarat platform bagi mengangkat produk kraftangan Sabah ke tahap lebih tinggi hingga ke peringkat global projek KKK diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi pengusaha kraf dan penduduk setempat dengan mempengaruhi industri lain seperti inap desa, pelancongan, perkhidmatan serta industri hiliran.

Selain kraf logam seperti pembuatan parang Bajau, produk yang turut diketengahkan dalam projek itu adalah anyaman rotan dan kulit kayu yang dijalankan oleh masyarakat Kadazandusun, tenunan dastar oleh kaum Iranun dan anyaman serdang oleh kaum Bajau. – Bernama