Justeru, banyak lebuh raya baharu dibina bagi memberi pilihan dan pengguna boleh merancang perjalanan mereka.

Antara lebuh raya yang menjadi pilihan pengguna ialah Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) yang menjadi laluan pintas penduduk kota untuk ke Utara dan Selatan.

Pengurus Besar GCE, Khairul Nizam Baharudin berkata, GCE yang sepanjang 22.65 kilometer (km) menghubungkan laluan dari Bukit Jelutong, Shah Alam ke Rawang.

Jelasnya, GCE sentiasa menjadi jalan pintas untuk pengguna bergerak ke kawasan Utara dan Selatan.

“Secara harian lebih 100,000 kenderaan menggunakan lebuh raya ini dan jumlah itu akan meningkat menjelang musim perayaan. Pembangunan pesat di sepanjang GCE ini akan menyebabkan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya ini dijangka bertambah pada masa hadapan.

“Dahulu kawasan di sepanjang GCE ini adalah ladang kelapa sawit. Kini, banyak kawasan perumahan mula dibina di sepanjang lebuh raya ini,” jelasnya.

Tambahnya, disebabkan jumlah trafik yang semakin bertambah, GCE mengaturkan beberapa langkah bagi memberi perkhidmatan lebuh raya yang terbaik buat pengguna.

Antara langkah yang sudah dilaksanakan adalah dengan mempelbagaikan aktiviti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya tersebut.

Khairul Nizam berkata, GCE bukan hanya sekadar lebuh raya biasa tapi kita mahukan lebih daripada itu.

“Oleh itu, kami menyusun pelbagai aktiviti di kedua-dua kawasan R&R kami. Selain lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti gerai makan, tandas dan surau, kami juga telah melaksanakan beberapa aktiviti bagi memberikan kelainan kepada pengguna,” jelasnya.

Jualan terus dari but kenderaan antara aktiviti yang diadakan di kawasan R&R itu.

Sambutan

Lebih 20 petak disediakan kepada para peniaga berkenaan.

“Sambutan daripada peniaga dan pelanggan terhadap aktiviti jualan tersebut amat baik dan pelbagai barangan dijual.

“Saya percaya melalui kaedah ini selain dapat menghidupkan suasana di kawasan R&R, ia juga dapat membantu peniaga-peniaga ini untuk menjana pendapatan,” kata Khairul Nizam.

Selain itu, untuk memeriahkan lagi suasana, persembahan pemuzik jalanan atau busker turut diadakan di kawasan R&R itu.

Beberapa kumpulan busker diundang untuk melakukan persembahan di situ.

Khairul Nizam menjelaskan, R&R di GCE juga menjadi satu tempat untuk generasi muda bersantai kerana ia juga turut dilengkapi dengan kemudahan Wi-Fi secara percuma.

“Saya perhatikan ramai generasi muda terutamanya pelajar universiti yang datang menyiapkan tugasan mereka di sini.

“Dalam masa yang sama, mereka menjamu selera di beberapa gerai yang menyediakan pelbagai hidangan seperti gerai Sate Kajang Haji Samuri,” tuturnya.

Selain itu, dalam membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, GCE juga menganjurkan aktiviti zumba pada setiap hujung minggu di kawasan R&R.

Khairul Nizam menambah, kawasan R&R di GCE juga sering menjadi lokasi untuk kelab-kelab kereta berkumpul.