Kebanyakan peserta daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bakal menyaksikan proses pelupusan al-Quran buat pertama kali dalam hidup mereka.

Apatah lagi, mereka juga menunggu masa menjadi salah seorang daripada pelupusnya.

Selepas hampir 15 minit mendengar taklimat mengenai keselamatan dan proses pelupusan tersebut, kesemua peserta mula memasuki kapal pengangkut PT2, yang bertanggungjawab membawa muatan abu al-Quran seberat 10 tan dan memulakan pelayaran.

Pelayaran itu dibantu oleh seorang pegawai dan sembilan anggota daripada Pasukan Polis Marin, Pelabuhan Klang diketuai oleh Ketua Pandu Arah 1, Superintendan Inspektor Muhamad Jaafar Ibrahim.

Sejurus menaiki kapal pengangkutan tersebut, wajah mereka mula mengukir senyuman, mungkin ada daripada mereka pertama kali mendapat peluang menyusuri sungai besar menuju ke lokasi pelepasan abu suci berkenaan.

Simpan setahun

“Ini adalah program pelupusan abu al-Quran yang cukup besar. Sebelum ini enam tan sahaja,” ujar Pengarah Urusan, Qaf International Sdn. Bhd. (Qaf International), Mohd. Rahib Mohd. Isa.

Qaf International bertanggungjawab mengumpul dan menyumbang al-Quran rosak, tercela fizikalnya, dan disalah cetak bagi tujuan pelupusan di pusat pelupusan al-Quran, Bukit Sentosa 2, Rawang, Selangor sebelum membawa abu-abu itu melalui pelayaran terakhir di lokasi yang telah ditetapkan.

“Sudah setahun kami simpan abu-abu ini. Kami mula membakarnya pada September tahun lalu selepas menerima banyak al-Quran lama dan rosak daripada sekolah-sekolah, pusat-pusat tahfiz dan masjid-masjid berdekatan untuk dilupuskan,” katanya.

Sayu

Perjalanan kapal pengangkutan polis untuk ke lokasi pelupusan yang terletak berhampiran Pulau Angsa itu mengambil masa selama lebih kurang satu jam 40 minit dari Jeti Pangkalan Polis Marin, Port Klang.

Setelah sampai ke lokasi, peserta mula mengambil bungkusan abu masing-masing untuk dilepaskan ke dalam laut.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Bahagian Penyelidikan JAIS, Normadiah Harun, 51, yang merupakan salah seorang daripada peserta program juga tidak dapat menyembunyikan wajah sayunya kepada orang ramai ketika melepaskan abu al-Quran itu ke dalam laut.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melakukan pelupusan ini bersama rakan-rakan yang lain. Ini merupakan kali pertama saya menyertai program sebegini dan jujur, saya berasa amat sayu melihat bongkah abu itu saat ia larut dalam laut.

“Namun begitu, saya juga berasa gembira kerana dapat melakukan proses pelupusan al-Quran yang suci ini dengan cara yang sebetulnya dan berharap agar program sebegini dapat diteruskan selepas ini,” katanya menutup bicara.