Demikian luahan guru pembimbing yang berasal dari Syria, Hend al-Khabbaz yang kini bertugas di sekolah rendah Sigmund Jaehn, Fuerstenwalde, Jerman.

Wanita berusia 35 tahun itu yang fasih bercakap bahasa Jerman terpaksa meninggalkan kampung halamannya sejak tiga tahun lalu.

Ketika di Homs, Syria, Hend merupakan seorang guru bahasa Inggeris sehinggalah dia terpaksa menaiki bot yang padat dengan penumpang untuk melarikan diri ke Eropah.

Selepas melalui perjalanan yang melelahkan di laluan Balkans, dia meminta perlindungan suaka di Jerman pada bulan September 2015.

Ketika itu seramai satu juta pelarian dan pendatang memasuki negara tersebut.

Walaupun Jerman telah bergelut untuk mengintegrasi ramai pendatang baharu, Hend sangat bertuah apabila dia diberi peluang mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang kepakarannya.

Dia merupakan salah seorang graduan pertama yang mengikuti program perintis iaitu Program Perguruan Pelarian di Universiti Potsdam.

Program tersebut membekalkan guru asing untuk memasuki sistem persekolahan di Jerman.

Daripada 700 pemohon awal pada tahun 2015, 85 peratus ialah orang Syria.

“Mereka merupakan individu yang memiliki latar belakang pendidikan di peringkat universiti.

“Kami mahu memberi peluang kepada mereka untuk bekerja semula di sini,” kata profesor yang mengasaskan program tersebut, Miriam Vock

Sementara itu, kelihatan kanak-kanak berlari masuk ke dalam kelas selepas loceng berbunyi sebagai tanda masa rehat sudah tamat.

Terdapat empat orang kanak-kanak Syria yang turut belajar di dalam kelas tersebut iaitu Yasmine, Zaid dan dua lagi bernama Mohamed.

Ketika di dalam kelas bengkel wayang, seorang guru bertanya kepada murid-murid apa yang dilakukan oleh lelaki di dalam filem tersebut.

Pertolongan

Mohamed mengangkat tangan dan menjawabnya dengan penuh semangat dalam bahasa yang baru dipelajarinya dengan berkata ‘dia membuka pintu’.

Berdiri di samping empat kanak-kanak Syria itu ialah Hend yang bersedia membantu mereka sekiranya memerlukan sebarang pertolongan.

Yasmin yang berambut panjang berbisik kepada seorang wanita muda di belakangnya sambil bertanya soalan dalam bahasa Arab.

Ujar Hend, mereka masih tidak menguasai bahasa Jerman apatah lagi sekiranya cikgu bercakap sangat laju.

Hend berkata, cabaran terbesar dalam kerjayanya ialah mempelajari bahasa baharu yang membentuk sebahagian besar kursus latihan di sekolah itu.

Pengetua sekolah itu, Ines Tesch menerangkan kanak-kanak pelarian itu masih lemah dalam bahasa Jerman terutamanya ketika mempelajari biologi dan fizik.

“Mereka terpaksa menggunakan bahasa ibunda sekiranya tidak dapat mencari kata sebenar untuk merujuk sesuatu perkara itu.

“Kanak-kanak ini memerlukan sokongan kuat apatah lagi berada di tempat baharu dan membawa bersama memori perang,” jelasnya.

Sekolah Sigmund Jaehn diambil sempena dengan nama angkasawan pertama Jerman Timur.

Sekolah tersebut yang mempunyai bilangan pelajar seramai 350 orang telah menjadi tuan rumah kepada 92 orang kanak-kanak pelarian termasuk 45 daripadanya adalah dari Syria.

Sementara itu Vock berkata, guru perlu menguasai bahasa Jerman kerana ia sangat penting ketika mengajar.

Daripada 26 kumpulan siswazah pertama pada tahun 2017 hanya 12 orang yang lulus untuk menyertai sekolah, manakala yang lain terpaksa mengulangi ujian bahasa Jerman.

Bagaimanapun, program tersebut telah mencipta kejayaan dan beberapa universiti di Jerman turut mengikut jejak langkah yang sama.

Ketika ini kawasan pedalaman di Jerman mengalami kekurangan guru yang sangat kritikal.

“Sudah jelas bahawa akhirnya mereka semua akan mendapat pekerjaan di sekolah,” kata Vock.

Katanya, rintangan paling besar bagi mereka ialah mendapatkan status istimewa penjawat awam kerana guru asing itu hanya mempunyai lesen untuk mengajar satu mata pelajaran.

Di Jerman, guru perlu mempunyai ijazah sarjana dan mengajar dua mata pelajaran.
– AFP