Apatah lagi apabila aktiviti yang dilakukan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang tidak terduga.

Namun, adakalanya mereka yang kerap mengembara ke luar negara akan berhadapan dengan situasi sukar untuk mendapatkan makanan yang memenuhi selera, apatah lagi makanan halal bagi pengembara muslim.

Bagi penggemar aktiviti luar, menyediakan makanan yang menyelerakan ketika berada di tengah-tengah hutan agak merumitkan, apatah lagi dengan perkakasan memasak dan bahan mentah yang terhad.

Kesukaran tersebut telah menyebabkan seorang anak muda, Muhammad Faiz Zakariah, 27, menghasilkan pek makanan untuk aktiviti kembara yang mudah untuk dibawa ke mana sahaja.

Dikenali sebagai Kembara Adventure Meals, pek makanan itu boleh memanaskan set makanan yang ada di dalamnya tanpa perlu menggunakan dapur atau api.

Idea untuk menghasilkan pek makanan tersebut tercetus ketika beliau melakukan aktiviti kembara semasa melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dan Britain selama lima tahun sebelum ini.

Halal

“Semasa melanjutkan pengajian di sana, saya kerap mengembara ke beberapa negara sekitar Eropah terutama pada cuti semester.

“Saya melihat banyak pek makanan kembara dijual.Walaupun pek tersebut mudah digunakan kerana disertakan dengan bahan pemanas makanan, apa yang menjadi masalah ialah pek makanan tersebut tiada status halal,” katanya.

Jelas Muhammad Faiz, sebaik kembali ke tanah air pada tahun 2015, dia bersama isterinya, Monika Basri, 26, mula mencari idea untuk menghasilkan pek makanan kembara sendiri yang bukan sahaja memenuhi cita rasa pengembara tempatan, tetapi juga halal.

Berbekalkan pengalaman sebagai pengembara dan keazaman yang tinggi untuk menjadi seorang usahawan, dia dan isteri mengambil keputusan memulakan perniagaan bagi menghasilkan pek makanan kembara jenama sendiri sejak tahun lalu.

Sebagai permulaan, pihaknya menyediakan satu jenis hidangan sahaja iaitu rendang daging lembu bersama nasi beriani dan mengagihkan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat untuk dicuba.

Selama kira-kira setahun, pihaknya juga mengumpul maklum balas untuk meningkatkan kualiti hidangan dan pembungkusan.

“Akhirnya, bermula Januari lalu, kami mula memasarkannya secara komersial dan pada bulan Jun, kami menambah satu lagi hidangan iaitu rendang ayam bersama nasi beriani,” katanya dengan memberitahu kedua-dua resipi tersebut adalah ciptaan isterinya.

Set makanan yang dihasilkan itu turut menggunakan teknologi steril bagi memastikan ia mampu bertahan sehingga dua tahun.

Mengulas mengenai bahan yang digunakan sebagai pemanas pek hidangan tersebut, Muhammad Faiz menggunakan bahan pemanas yang dikenali sebagai Flameless Ration Heater (FRH). Ia terdiri daripada campuran magnesium, iron dan sodium.

FRH merupakan teknologi yang digunakan oleh pihak tentera di Eropah dalam penyediaan makanan terutama bagi anggota yang bertugas di perbatasan.

Teknologi FRH

Teknologi tersebut kemudiannya diadaptasi dalam proses penghasilan pek makanan kembara yang banyak terdapat di pasaran negara sekitar benua tersebut bagi tujuan komersial.

“Saya mengambil idea tersebut untuk menghasilkannya dengan menggunakan hidangan tradisional tempatan sebagai menu utama,” katanya.

Kembara Adventure Meals merupakan pek kembara pertama yang dihasilkan di negara ini menggunakan teknologi tersebut. Produk tersebut turut mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia selain dihasilkan di kilang yang memiliki sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Keselamatan Makanan, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Pengguna katanya, hanya perlu menuang air dengan kapasiti kira-kira 100 mililiter ke dalam bekas plastik utama yang bertindak sebagai dapur dan bahan FRH akan memanaskan pek makanan secara automatik.

“Pengguna boleh menggunakan sebarang jenis cecair sama ada air mineral, air sungai atau apa sahaja dan bahan FRH akan mencapai kepanasan sehingga 100 darjah Celsius dalam masa hanya 30 saat.

“Kepanasan tersebut akan kekal untuk tempoh enam hingga tujuh minit dan ia sudah memadai untuk memanaskan pek makanan yang berada di dalam plastik tersebut.

“Dalam tempoh 10 minit, hidangan tersebut sudah sedia untuk dimakan,” katanya yang melantik kira-kira 100 ejen jualan di seluruh negara bagi memasarkan produk tersebut.