Ini kerana makanan itu mudah untuk didapati dan proses memasaknya juga tidak mengambil masa yang lama.

Namun, ramai antara kita tidak sedar bahawa makanan segera sebenarnya tidak mengandungi khasiat pemakanan yang baik.

Pengambilan makanan segera boleh membahayakan kesihatan dan masyarakat harus menukar cara pemakanan mereka.

Salah satu makanan segera yang menjadi pilihan masyarakat di negara ini ialah burger.

Kebanyakan burger yang dihasilkan lazimnya menggunakan pati ayam atau daging yang diproses dan ia tidak mengandungi khasiat yang mencukupi.

Bagi mengatasi masalah itu, sekali gus mendidik masyarakat mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, syarikat Biotrampil PLT menghasilkan produk JACK O iaitu pati burger berasaskan serat buah-buahan.

Ketua Strategi Korporat Biotrampil PLT, Ahmad Syafik Jaafar berkata, pati itu dihasilkan sebagai alternatif kepada penggemar makanan segera untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat.

Menurutnya, dia mengetahui kebanyakan masyarakat menyukai makanan segera.

Atas faktor itu, dia memilih untuk menghasilkan pati burger yang berasaskan serat buah-buahan.

“Pati yang kami hasilkan adalah menggunakan buah nangka muda dan ia mengandungi serat yang amat tinggi. Jika kami menggunakan 100 peratus buah nangka muda ini sebagai pati, mungkin masyarakat kita sukar untuk menerimanya.

“Ini kerana mereka masih menggemari ayam dan daging. Sebagai pilihan, kami turut mencampurkan daging dan ayam untuk menghasilkan pati itu tetapi dalam nisbah yang kecil,” jelasnya.

Tambah Ahmad Syafik, penghasilan pati itu menggunakan nisbah 70 peratus buah nangka muda dan 30 peratus ayam atau daging lembu.

Bagi memberi pilihan kepada pengguna, Biotrampil PLT menghasilkan tiga pati berbeza iaitu campuran buah nangka bersama, ayam, daging dan cendawan.

Ahmad Syafik berkata, pati burger itu juga mudah dan cepat dimasak serta ia sesuai untuk mereka yang sibuk dengan urusan kerja.

Tempoh kenyang

“Ibu bapa yang mahu memberikan makanan yang berkhasiat kepada anak-anak, mereka boleh memilih untuk menggunakan pati ini.

“Selain itu, ia juga sesuai untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Ini kerana pati itu mengandungi serat buah nangka yang cukup tinggi dan ia boleh memberi tempoh kenyang yang lebih lama,” katanya.

Ahmad Syafik menambah, pati itu boleh dipelbagaikan dalam setiap jenis masakan dan ia mampu menjadi inti kuih seperti karipap serta pau.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Biotrampil PLT, Nurnadiah Madon menjelaskan, inovasi penghasilan JACK 0 yang berasaskan buah nangka itu dihasilkan oleh penyelidik dari Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Menyedari produk yang dihasilkan itu amat baik untuk pemakanan, kami bekerjasama dengan penyelidik daripada universiti itu untuk mengkomersialkan ke dalam pasaran.

“Produk yang dikomersialkan ini turut mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan kelulusan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” katanya.

Tambahnya, produk yang dihasilkan itu juga berjaya memenangi pingat emas untuk Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) pada tahun 2013.