Kejadian yang disangka biasa itu bertukar menjadi luar biasa sehingga seluruh dunia berganding bahu untuk menyelamatkan 13 permata berharga negara Gajah Putih tersebut.

Seribu anggota penyelamat terlibat manakala seorang wira telah terkorban dalam menjayakan misi yang berbahaya itu sebelum kesemua mereka yang terperangkap berjaya diselamatkan pada 10 Julai lalu.

Setiap individu dari Thailand baik anggota penyelamat, petani, pekebun hinggalah mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik menghulurkan bantuan semata-mata mahu membolehkan operasi menyelamatkan kumpulan tersebut diteruskan dengan jayanya.

Pujian harus diberikan kepada pasukan penyelamat dari seluruh dunia terutamanya China, Myanmar, Laos, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Britain.

Masing-masing menganggap operasi menyelamat itu adalah tanggungjawab bersama.

Pujian turut dihulur kepada pentadbir dan pembangkang kerajaan Thailand. Kedua-dua pihak ini berganding bahu walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Pengajaran

Demi menyelamatkan 13 nyawa yang berharga, mereka sanggup menghentikan sengketa. Apa sahaja sanggup dilaksanakan asalkan satu nyawa pun tidak terkorban. Nyawa lebih berharga daripada fahaman politik.

Segunung pujian dan penghargaan untuk rakyat Thailand yang tidak putus-putus berdoa serta memberikan kerjasama tidak berbelah bagi kepada pemimpin, anggota penyelamat dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dalam misi menyelamat berkenaan.

Seorang individu telah membenarkan hasil tanaman yang diusahakan sejak sekian lama untuk ditenggelami air semata-mata mahu membolehkan kumpulan yang bersemangat waja tersebut dikeluarkan dengan mudah.

Malah, ada yang secara sukarela membasuh, menjahit, mengurut dan membuat apa sahaja usaha yang kecil bagi menyumbang dalam misi getir berkenaan.

Hakikatnya, peristiwa itu sebenarnya memberi banyak pengajaran untuk generasi muda di negara ini.

Pertama, semangat berpasukan amat diperlukan dalam jiwa setiap orang terutamanya generasi muda di negara ini. Ia bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan dalam semua bidang yang diceburi.

Ingat peribahasa Melayu, bersatu kita, teguh bercerai kita roboh. Ia merupakan resipi paling mujarab jika diamalkan kerana ia akan membawa keajaiban dalam kehidupan kita.

Pantang berundur sebelum berjuang, jangan sekali-kali berundur tanpa mencuba. Jangan berputus asa dalam apa sahaja situasi.

Semangat tidak putus asa ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Nilai murni

Walaupun kumpulan itu hilang selama sembilan hari dalam gua berkenaan, kedua-dua pihak iaitu kumpulan yang hilang mahupun penyelamat tidak pernah berputus asa.

Kumpulan penyelamat tidak putus asa mencari manakala pasukan bola sepak ini tidak berputus asa bertahan dan menunggu bantuan tiba.

Jika kedua-dua pihak berputus asa di pertengahan usaha sudah pasti negara itu akan kehilangan individu yang mungkin akan memimpin negara tersebut suatu hari nanti.

Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Sedialah membantu sesiapa sahaja. Nilai murni itu harus ditanam dalam jiwa setiap insan di negara ini. Yang sudah ada, suburkan lagi nilai itu. Percayalah satu hari nanti anda akan mendapat balasan yang setimpal.

Seperti contoh teladan yang ditunjukkan rakyat di negara berkenaan, ia patut menjadi teladan kepada anak muda.

Pengajaran paling penting di sebalik itu ialah menghargai setiap nyawa. Jangan sia-siakan nyawa itu untuk perbuatan yang tidak berfaedah.

Kepada anggota penyelamat dan rakyat Thailand yang terlibat dalam misi yang sukar itu, syabas kerana anda merupakan wira dan wirawati yang harus disanjung sepanjang zaman.