Ia bermula pada 2007 dengan mengeksport isi durian (ulas/pes) yang sejuk beku.

Pada festival tiga hari itu, seramai 165,000 orang di China telah disajikan dengan kehebatan rasa durian Musang King segar.

Sebanyak lima tan metrik telah dibawa masuk khas bagi festival tersebut.

Jabatan Pertanian juga telah memulakan langkah bagi memohon kebenaran daripada pihak China untuk mengeksport buah durian segar.

Selain China, pasaran tradisional durian segar Malaysia adalah ke negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Asia Tenggara.

Sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan pasaran eksport buah-buahan tempatan dan mengelakkan berlakunya lambakan, Jabatan Pertanian telah membuat permohonan laluan pasaran baharu ke negara-negara seperti Australia, China, Korea Selatan dan Taiwan sejak tahun 2004.

Bagaimanapun, rundingan bagi mendapatkan laluan pasaran yang baharu mengambil masa kerana peraturan sanitasi dan fitosanitasi (SPS) ketat yang diamalkan oleh negara-negara berkenaan.

Kini, rundingan laluan pasaran ini telah membuahkan hasil apabila durian Malaysia dalam pelbagai bentuk seperti durian segar dan sejuk beku boleh dieksport ke negara-negara berkenaan.

Bagi memastikan pengeksportan durian mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh negara-negara pengimport, Jabatan Pertanian bertanggungjawab memastikan pengeluaran buah di ladang sehinggalah di eksport.

Di peringkat ladang, Jabatan Pertanian hanya membenarkan buah durian yang dihasilkan dari ladang yang mempraktikkan amalan pertanian baik dan menerima sijil myGAP sahaja boleh dieksport.

Fasiliti-fasiliti memproses durian sejuk beku perlu berdaftar dengan Jabatan Pertanian dan menerima pensijilan GMP atau HACCP daripada Kementerian Kesihatan sebelum dibenarkan memproses durian sejuk beku.

 

Bermutu tinggi

Sehingga kini, sebanyak 19 premis telah berdaftar dan diluluskan di seluruh Malaysia.

Akhirnya, sebelum sesuatu konsainan durian itu dapat dieksport, Jabatan Pertanian akan melaksanakan pemeriksaan kuarantin untuk pengeluaran sijil fitosanitasi.

Pemeriksaan secara teliti akan dibuat bagi memastikan ia bebas daripada perosak dan penyakit tumbuhan serta mendapat sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan bagi produk sejuk beku durian.

Semua prosedur tersebut, selain daripada untuk mematuhi keperluan seperti negara pengimport, ia dapat memastikan penghasilan produk durian yang bermutu tinggi, selamat dimakan serta bebas daripada sebarang perosak dan penyakit tumbuhan sewaktu pengeksportan dijalankan.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar tanaman durian ini dapat menjadi satu sumber kekayaan baharu yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat yang mengusahakannya serta dapat menarik kembali minat generasi baharu dalam bidang pertanian.