Ia bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda katanya, “Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu maka, perelokkanlah nama-nama kamu”. (riwayat Abu Daud, no. 49480).

Menyedari kepentingan pemilihan nama-nama yang baik kepada anak-anak telah mendorong Dr. Muhammad Fauzi Yusuf dan Ustazah Sabariah Bakri untuk menghasilkan buku Ensiklopedia Nama-Nama Anak.

Menurut Muhammad Fauzi, buku itu merupakan naskhah lengkap terutamanya kepada ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata sulung kerana ia turut dimuatkan beberapa panduan penjagaan serta pendidikan menurut ajaran Islam.

“Nama dengan maksud yang baik akan mempengaruhi personaliti anak-anak kerana setiap kata-kata atau panggilan itu merupakan doa.

“Di dalam buku ini juga, kami memberi panduan ejaan dalam bahasa Arab yang betul agar makna nama tersebut tepat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Telaga Biru Sdn. Bhd., Sri Damansara Industrial Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di samping itu, nama yang baik juga dapat mengelakkan anak-anak diejek oleh rakan-rakan ekoran namanya yang kurang baik.

Ujarnya, tanpa kita sedari terdapat nama-nama panggilan harian yang mempunyai makna sangat buruk.

Sebagai contoh, nama penuh Farzana bermaksud kecemerlangan tetapi jika panggilan singkatannya ialah Zana, ia membawa maksud dia telah berzina.

Sehubungan itu, Rasulullah akan menukar nama para sahabat jika Baginda mengetahui bahawa ada antara mereka yang mempunyai nama tidak elok.

Dipuji

Beliau yang merupakan Pensyarah Bahasa Arab di Jabatan Bahasa al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor berkata, buku tersebut mempunyai kira-kira 260 nama yang dilarang termasuk nama berkaitan jin serta syaitan.

Di samping itu, terdapat lebih 3,000 nama baik seperti terkandung dalam al-Quran.

Sesungguhnya, dalam al-Quran terdapat nama-nama yang baik dan membawa maksud baik serta dipuji di langit dan bumi.

Tidak ketinggalan nama-nama nabi, sahabat Rasulullah, ulama dan tokoh-tokoh agama turut dimasukkan ke dalam buku ini.

Mengulas mengenai keistimewaan buku Ensiklopedia Nama-Nama Anak itu, Muhammad Fauzi berkata, ia turut menceritakan sejarah atau riwayat hidup nabi-nabi, para sahabat, saintis Islam dan ulama.

Terangnya, buku tersebut juga memuatkan panduan kepada ibu bapa untuk merawat sawan tangis.

Bayi atau kanak-kanak yang mengalami sawan tangis biasanya menangis pada masa-masa tertentu tanpa sebab yang munasabah.

“Sawan tangis disebabkan oleh gangguan jin atau makhluk halus sehingga menyebabkan bayi menangis berlarutan untuk beberapa jam.

“Begitu pun, sebelum membuat andaian ada gangguan tersebut, periksa terlebih dahulu keadaan anak dengan teliti mungkin disebabkan perut kembung, lampin sudah lama tidak ditukar atau disengat binatang berbisa,” tutur anak kelahiran Jasin, Melaka itu.

Muhammad Fauzi dan Sabariah mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan buku setebal 478 muka surat ini yang mengandungi lima bab iaitu Panduan Lengkap Menamakan Anak-Anak Menurut Islam, Nama-Nama Yang Baik, Nama-Nama Yang dilarang, Nama-Nama Dalam al-Quran dan Nama-Nama Pilihan.

Cabaran yang mereka hadapi ialah mengumpul maklumat serta memastikan ia sahih bagi menceritakan sejarah atau riwayat hidup nabi-nabi, para sahabat dan ulama.

Selepas itu, maklumat itu disaring berulang kali untuk mendapatkan yang paling tepat kerana setiap sumber itu memberi maklumat berbeza.

Mereka juga mendapat rujukan daripada pakar-pakar dalam bahasa Arab.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa agar mendapatkan naskhah itu kerana maklumatnya lebih sahih berbanding di internet yang tidak diketahui sumbernya.