Golongan muda hari ini tidak ramai yang mengetahui proses mengolah logam untuk menjadi pisau, pedang atau keris yang dilakukan oleh golongan pandai besi.

Oleh itu, menjadi pandai besi bukanlah sesuatu pekerjaan biasa. Pekerjaan tersebut menuntut mereka bermain dengan api, peralatan berat serta memerlukan kesediaan mental dan fizikal.

Pada zaman dahulu, pekerjaan membuat keris dilakukan oleh seorang empu iaitu gelaran yang diberikan kepada pembuat keris. Hasil kerja yang dilakukan mereka bukanlah sembarangan pisau atau keris sebaliknya memiliki nilai falsafah yang tinggi sehingga boleh menimbulkan stigma mistik atau ajaib.

Kekurangan kegiatan menempa dan mereka yang pandai besi adalah disebabkan beberapa faktor antaranya kekurangan peralatan serta tempat.

Menurut Ibnu, di Bandung hanya terdapat dua lokasi yang mempunyai tempat untuk membuat peralatan tajam yang dikenali sebagai gasoli dan tempat menempa peralatan tradisional menggunakan tungku arang.

Satu lokasi terletak di Jalan Salatiga 36, Antapani, Bandung yang merupakan kediaman Ibnu manakala satu lokasi lagi di Jalan Kudus 34.

Selain gasoli, proses itu juga dapat dihasil menggunakan tungku yang lebih moden iaitu gas, namun terdapat perbezaan dari segi suhu panasnya.

Tungku gas menghasilkan suhu sekitar 1,000 darjah Celsius manakala tungku arang pula boleh mencapai sehingga 2,500 darjah Celsius.

Suhu sepanas itu kebiasaannya digunakan dalam pembuatan pamor atau keris yang diperbuat daripada bahan batu meteor.

Kepanasan suhu tersebut boleh mengubah logam yang berwarna kelabu menjadi merah menyala. Jika proses itu dilakukan pada logam yang dipanaskan dalam suhu tinggi akan muncul percikan api.

Ketika ia berwarna merah, logam akan diketuk menggunakan tukul yang beratnya boleh mencecah sehingga enam kilogram.

Bagi mendapatkan bentuk yang sesuai, proses tersebut perlu dilakukan berulang kali sehingga irama nyaring akan terhasil daripada proses berkenaan.

Pelajari ilmu

Menurut Ibnu, dia mula menceburkan diri dalam pembuatan besi sejak remaja lagi dan mula menguasai pedang katana Jepun sebelum beralih kepada parang.

Kemudian katanya, dia menuntut di Fakulti Seni Rupa dan Rekaan Institut Teknologi Bandung sekitar tahun 1999.

Hasil dorongan daripada salah seorang profesornya, Ibnu akhirnya mula fokus dalam pembuatan khususnya keris ketika masih berada dalam kuliah pada tahun 2004.

Ibnu juga telah pergi ke Jawa Tengah sehingga ke Belgium untuk mempelajari pembuatan besi kerana baginya sekiranya bukan dia, siapa lagi akan meneruskan pusaka negara tersebut.

Rasa cinta terhadap pembuatan itu turut mendorong Ibnu bersama empat lagi rakannya mengetuai sebuah komuniti dalam bidang tersebut yang dikenali sebagai Pijar pada tahun 2011.

Setakat ini, jumlah ahli Pijar sudah mencecah 50 orang dengan menyaksikan ahli silih berganti dan tidak kurang juga yang kekal.

“Pijar adalah salah satu cara untuk kami mengabdikan diri terhadap negeri ini,” ujarnya.

Mempelajari kebudayaan dan cara pembuatan pisau serta senjata pusaka seperti keris dan kujang, Pijar turut menghasilkan pembuatan produk lain seperti aksesori lelaki dan dipasarkan dengan nama Saltiq.

Fokus produk mereka adalah pembuatan gelang menggunakan bahan kekuningan dengan motif tradisional Mentawai bagi memperkenalkan budaya kepada generasi muda.

Ibnu berharap pemakaian gelang tersebut akan membolehkan si pemakai berbangga dengan kekayaan budaya Indonesia melalui produknya.

“Walaupun memasuki dunia fesyen, kita tidak mahu melupakan budaya kita sendiri,” jelasnya.

Proses

Tidak seperti pembuatan gelang yang boleh dihasilkan dalam masa kurang daripada seminggu, proses membuat pisau dan senjata pusaka mengambil masa bukan sahaja berbulan-bulan tetapi bertahun-tahun lamanya.

Ini kerana ia memerlukan teknik yang pelbagai dan proses yang lebih panjang, lebih-lebih lagi untuk membuat keris yang memerlukan satu upacara khas diadakan terlebih dahulu.

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan senjata pusaka seperti keris terdiri daripada pelbagai logam.

Kemudiannya logam itu dipanaskan dan ditempa menjadi satu pamor yang memiliki tekstur seperti urat.

Pamor tersebut kemudiannya dipanaskan di atas tungku dengan suhu 1,000 hingga 2,500 darjah Celsius dan ditempa berulang kali sehingga mendapat bentuk yang diinginkan.

Untuk mendapatkan butiran pada bilah keris, ia akan dikikir dan diukir secara manual. Cara tersebut turut digunakan untuk pembuatan hulu keris serta sarung yang diperbuat daripada kayu dan gading.

Menurut Ibnu, produk yang dihasilkan oleh Pijar dan Saltiq mempunyai keistimewaan serta nilai kebanggaan tersendiri bagi pemiliknya.

Kebanyakan pembeli datang daripada kalangan mereka yang memahami dunia pisau dan senjata pusaka. Mereka biasanya menjadikan produk tersebut sebagai koleksi.

Bagaimanapun, penghargaan terhadap pisau yang ditempa masih kurang di Indonesia jika dibandingkan di luar negara.

“Reka bentuk untuk menghasilkannya perlu menggunakan minda dan masa. Ini bermakna ia tidak percuma. Masalahnya di Indonesia masyarakat belum terdidik untuk menghargainya. Mereka lebih menghargai barangan kilang,” katanya lagi.

Pijar tidak hanya mendalami proses pembuatan tetapi turut meneroka kepelbagaian budaya yang menjadi kepercayaan kebanyakan masyarakat.

Sebagai contoh, maksud di sebalik upacara pembuatan senjata pusaka ternyata mempunyai nilai falsafah yang tinggi bukan sekadar mitos semata-mata.

Antaranya ialah penggunaan kelapa dalam persembahan upacara itu yang menggambarkan manusia terdiri daripada tubuh badan yang kuat dan mempunyai perasaan lemah lembut.

Nama Pijar diambil daripada salah satu teknik yang terdapat dalam penempaan bermaksud menyatukan pelbagai logam untuk membentuk sifat baharu.

Falsafah itu diambil kerana menurut Ibnu, mereka menyedari setiap manusia itu mempunyai sifat yang berbeza-beza dan harus disatukan.

Lebih daripada matlamat untuk mendidik dan memelihara kekayaan budaya Indonesia, Pijar ditubuhkan untuk melahirkan generasi muda sebagai warisan negara yang sebenar.

“Kita adalah pusaka bangsa, maknanya kita harus ditempa, itulah yang diperjuangkan oleh Pijar,” ujarnya.