Laut China Selatan sudah menjadi sebahagian daripada lubuk rezeki bagi mereka yang majoritinya merupakan nelayan pesisir.

Menjadi nelayan adalah tradisi turun-temurun etnik Melanau walaupun bilangannya semakin berkurangan akibat arus pemodenan yang membawa perubahan sosio ekonomi mereka. Etnik ini terkenal sebagai nelayan panau dalam kalangan penduduk di pekan Mukah. Panau adalah cara menangkap ikan tradisional yang jauh berbeza berbanding cara moden.

Bawal hitam

Nelayan pemilik lesen A (pesisir) di Mukah, Abdul Karim Lai, 55, masih mengamalkan cara panau khususnya bagi menangkap ikan bawal hitam yang banyak terdapat di perairan pesisir Sarawak.

Katanya, tradisi penangkapan ikan bawal hitam kira-kira 10 hingga 20 batu nautika di perairan Mukah, Oya dan Kuala Tatau telah diamalkan lebih 100 tahun lalu sebelum wujudnya cara moden menggunakan pemerum gema (fishfinder).

Nelayan panau di Mukah masih bergantung kepada kemahiran menyelam untuk menangkap dan memburu ikan di dasar laut pada kedalaman kira-kira 10 hingga 20 meter.

“Bila guna kaedah panau, empat nelayan akan terjun dan menyelam ke laut bersama jaring khas manakala dua nelayan lagi memburu ikan masuk ke jaring,” katanya. Kawasan itu juga dipasang dengan unjam daun nipah beberapa hari sebelum mereka memburu ikan bawal.

Selain menyelam, nelayan panau juga perlu mahir meninjau ikan di dasar laut kerana ikan bawal hitam bergerak secara berkumpulan.

“Tihuk merupakan arahan yang diberikan awak-awak yang berpaut di bahagian belakang kapal sambil meninjau ke dasar laut untuk maklumkan kepada tekong kapal sebagai isyarat supaya memulakan panau,” jelasnya.

Pantang larang

Abdul Karim berkata, mengikut cara tradisional itu, mereka perlu mematuhi pantang larang. Antaranya ialah tidak menyebut nama ikan duwai (bawal hitam), sebaliknya menggunakan nama lain iaitu kajang sebagai isyarat adanya ikan di dasar laut.

Namun, ada juga nelayan yang tidak mengikuti pantang larang itu kerana yakin dengan rezeki masing-masing dan sabar memburu bawal hitam di unjang-unjang yang telah dipasang di tengah laut.

Menurutnya kira-kira 100 unjang di pasang di tengah laut dan mereka tidak boleh menyelam di unjam-unjam yang dipasang nelayan panau lain.

“Ikan bawal yang ditangkap dengan kaedah panau mempunyai rasa lebih manis jika dibandingkan dengan cara tangkapan lain seperti tunda dan bubu,” kata Abdul Karim, yang menurunkan kemahiran panau kepada anak dan saudara-maranya bagi memastikan kaedah itu tidak pupus.

Kaedah panau biasnya mampu menyumbang hasil tangkapan kira-kira setengah tan hingga satu tan ikan bawal yang bernilai kira-kira RM3,000 ke RM10,000 tetapi ia bergantung kepada cuaca dan keadaan air.

Hasil tangkapan itu kemudian dijual kepada peraih yang sedia menanti di Jeti Mukah sebelum ia dijual kepada pembeli pada harga antara RM20 hingga RM24 sekilo. 
– Bernama