Ia dilukis oleh seorang artis yang sudah berpuluh tahun bergelumang dalam dunia seni.

Siapa lagi jika bukan Prof. Li Chi-Mao. Beliau bukanlah seorang karyawan seni yang asing di Malaysia kerana sebelum ini pernah mengadakan beberapa pameran di tanah air seperti pameran di Balai Seni Negara pada 2010, Ekspo Seni Malaysia 2007 dan Wisma Kebudayaan Soka Gakkai 2008.

Kunjungan beliau ke Malaysia baru-baru ini adalah untuk mempamerkan karya seninya bersama enam pelukis dari Taiwan.

Menurutnya yang sudah berusia 93 tahun, hasil lukisan pada kali ini agak berbeza dengan pameran terdahulu.

“Sebelum ini saya meminati karya yang lebih abstrak, rumit dan sukar difahami namun pada pameran ini lukisan yang dipersembahkan lebih santai, ringan serta mudah difahami.

“Antara judul lukisan-lukisan yang dipamerkan ialah The Immortal Lord of Wine, Malaysia Forever Green dan Beautiful Malay Women,” katanya ketika ditemui pada pameran The Contemporary Art of Prof. Li Chi-Mao di Galeri Prima, Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pameran itu, sebanyak 65 karya seni dipamerkan. Turut hadir merasmikan majlis ialah mantan Pengerusi Balai Seni Visual Negara, Tan Sri Kamarul Ariffin. Beliau menyifatkan Chi-Mao sebagai Mahaguru Seni.

Bermutu tinggi

Menurut Kamarul, Chi-Mao telah mengadakan ratusan pameran seni karyanya termasuk di China, Australia, New Zealand, Korea, Jepun, Thailand, Singapura, Arab Saudi, Afrika Selatan serta beberapa lokasi di Amerika Syarikat.

Lebih membanggakan, sebuah galeri kekal sempena namanya, Li Chi-Mao Art House telah diwujudkan di Melaka.

Selain itu, terdapat juga beberapa galeri lain yang dibina khas untuk beliau seperti galeri dan muzium seni yang terletak di daerah Shandung, China. Galeri itu mempunyai bentuk kapal layar yang pernah dikemudikan oleh Laksamana Zheng He pada tahun 1371 hingga 1433.

“Apa yang membuatkan saya menggelarkannya Mahaguru Seni adalah selain menghasilkan lukisan yang bermutu tinggi, Chi-Mao juga telah menghasilkan berpuluh penulisan tesis dan lagu-lagu rakyat.

“Malah, beliau juga pernah bertindak sebagai hakim dalam memilih karya bermutu melalui pertandingan seni yang dianjurkan selain menjadi penasihat kepada beberapa pertubuhan seni dan budaya,” ujarnya.