TWH yang beroperasi sejak tiga tahun lalu menyediakan perkhidmatan perkahwinan lengkap bermula daripada lokasi, katering, busana, solekan, gubahan hantaran dan pelamin, jurugambar, makan beradab serta cenderamata.

Idayu, 27, selaku Pengarah Urusan TWH berkata, pakej lengkap seperti itu lebih menjimatkan kos kerana tidak perlu berurusan dengan pihak berlainan.

Bakal pengantin juga boleh memilih pakej serendah RM9,500 untuk 200 orang tetamu manakala RM29,500 bagi menjemput 1,000 orang tetamu.

“Lokasi yang kami sediakan sangat berbeza kerana memilih kediaman mewah dan selesa.

“Mengadakan kenduri di banglo kini menjadi trend terutamanya bagi pasangan yang datang dari dua buah negeri berbeza tetapi mahu merealisasikan hari bahagia di satu lokasi sahaja,” katanya ketika majlis pembukaan banglo TWH yang ketiga di Lai Tet Loke 1, Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Popular

Buat masa ini, TWH menawarkan tiga banglo mewah, sama ada untuk majlis akad nikah, hari jadi, sambutan hari keluarga dan paling popular bagi majlis persandingan yang terletak di Damansara, Putrajaya serta terkini di Jalan Lai Tet Loke 1, Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tambah Idayu, pakej lengkap di bawah satu bumbung itu semakin popular dan mendapat sambutan yang baik khususnya dalam kalangan eksekutif serta korporat yang tidak mempunyai banyak masa menyediakan persiapan perkahwinan.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, ada pasangan yang hanya membuat tempahan melalui panggil telefon, e-mel atau pesanan WhatsApp untuk memilih tarikh, pakaian pengantin, warna tema dekorasi pelamin serta meja pengantin.

Malah, ada juga bakal pengantin yang hanya boleh bertemu sekali bersama pihak TWH untuk membuat tempahan kerana kekangan masa dan menyerahkan kepercayaan kepada perunding perkahwinan menguruskan segala-galanya.

Di samping itu, TWH turut menyediakan pakej-pakej lain termasuklah dewan, rumah dan hotel.

Idayu yang mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam bidang solekan berkata, TWH berbesar hati untuk berkongsi rezeki bersama pihak ketiga dengan cara membuka peluang kepada vendor.

“Kami akan membuat pemilihan vendor dengan teliti agar perkhidmatan yang diberikan berkualiti dan memuaskan hati pelanggan.

“Selepas itu barulah mereka diterima menyertai pasukan TWH,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah TWH Muhammad Azim, 27, berkata, terdapat juga banglo TWH yang menawarkan bilik-bilik untuk penginapan kepada ahli keluarga yang mahu bermalam sebelum atau selepas majlis perkahwinan.

“Pendek kata, kami menyediakan pakej lengkap A sampai Z dan pengantin hanya perlu bawa badan kerana semuanya diuruskan oleh TWH.

“Kami ingin membantu memudahkan keluarga pengantin terutamanya yang tinggal di kondominium kerana ruang kediaman yang terhad di samping mencipta kelainan dalam kalangan warga kota,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Ujar Muhammad Azim, majlis perkahwinan yang mereka uruskan itu mengikuti cita rasa pelanggan dan kerja-kerja akan dilaksanakan selepas mencapai kata sepakat bersama kedua-dua belah pihak.

Kebanyakan pelanggan TWH terdiri daripada golongan profesional seperti juruterbang, doktor, peguam atau jururawat yang bertugas di luar negara serta mempunyai masa cuti sangat terbatas.

Walaupun meminati bidang perniagaan, ironinya kedua-dua pasangan tersebut memiliki Ijazah Sarjana Muda Biokimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Terang Muhammad Azim, pihaknya mensasarkan untuk memiliki 10 buah banglo bagi dijadikan lokasi perkahwinan di sekitar Lembah Klang.