Setiap kanak-kanak sekolah berumur antara enam hingga 16 tahun itu menerima dua pasang pakaian seragam sekolah dan pakaian sukan, lengkap dengan kasut sekolah, sarung kaki serta beg sekolah yang dilengkapi dengan kamus Bahasa Melayu-Inggeris dan set alat tulis.

Bagi memastikan hari pertama mereka di sekolah lebih menyeronokkan dengan pengalaman yang tidak akan dilupakan, para pelajar juga menerima bekas minuman Coca-Cola dan sebuah kereta permainan Porsche.

“Kembali ke sekolah merupakan pengalaman yang sangat menarik buat kanak-kanak tetapi mungkin boleh memberi cabaran kepada ibu bapa. Program Kembali ke Sekolah yang dianjurkan itu sudah memasuki tahun keempat dan bertujuan untuk meringankan beban keluarga.

“Kami ingin membantu dan berkongsi keceriaan pada hari pertama persekolahan supaya kanak-kanak ini dapat pergi ke sekolah dengan lengkap. Keunikan program Kembali Ke Sekolah ini adalah ia didorong dan dibiayai oleh kakitangan Petron sebagai penaja utama program, selain dapat memberi peluang kepada staf kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat,” kata Ketua Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Zaimi Harun menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Bagi meraikan lebih ramai kanak-kanak sekolah, Volunteerism in Action (VIA) Petron telah berkerjasama dengan JOMBaca i-SINA iaitu satu program pendidikan di bawah kelolaan Yayasan Amal Mahabbah selain penyedia pakaian sekolah, Canggih bagi menjayakan program Kembali ke Sekolah ini.

Zaimi berkata, Petron telah bekerja rapat dengan JOMBaca i-SINA, dalam mengenal pasti kanak-kanak yang benar-benar layak untuk menerima pakej persekolahan ini.

“Pakej ini akan memastikan pelajar mempunyai segala kelengkapan yang diperlukan untuk memulakan tahun persekolahan.

“Lebih penting lagi, kami berharap pakej ini membolehkan kanak-kanak fokus sepenuhnya pada persekolahan mereka untuk memastikan masa depan yang lebih cerah,” tambah Zaimi.

Sejak penubuhan VIA Petron pada tahun 2014, kakitangan Petron telah menjayakan program Kembali Ke Sekolah dengan melibatkan seramai 255 pelajar kurang bernasib baik di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.