Kata-katanya itu menjadi sebahagian daripada ungkapan betapa untuk menjadi manusia berjaya, kita perlu menempuh risiko.

Bagaimanapun, tentulah kata-katanya ini tidaklah merujuk kepada risiko yang mungkin tidak berfaedah untuk dilakukan.

Di Malaysia, kini tarian Keke adalah antara wabak kegilaan baharu yang boleh dianggap sebagai aktiviti berisiko yang dilakukan oleh orang yang berani.

Walaupun sekali imbas, aksi keluar daripada kereta ketika kenderaan masih bergerak itu hanya berupaya dilakukan oleh mereka yang berani, namun ada dua persoalan yang patut kita tanyakan.

Pertama, mengapa aksi yang berbahaya seperti itu perlu dilakukan?

Keduanya, mengapa pula aksi seperti itu perlu dirakamkan dan kemudiannya dikongsi dengan orang lain?

Lebih mengejutkan, ia dilakukan pula oleh personaliti yang dikenali ramai termasuklah artis.

Berkongsi

Sekiranya ia dilakukan oleh orang awam yang tidak dikenali, rakaman videonya pula tidak dikongsikan dengan orang ramai, mungkin ‘kehebatan’ itu hilang begitu sahaja.

Tiada siapa yang akan mengambil tahu dan tiada siapa yang mengambil endah mengenainya.

Walaupun belum ada sebarang kajian psikologi mengenai fenomena tarian Keke ini, bagaimanapun ia mungkin menceritakan dua jenis personaliti utama yang ada dalam diri seseorang individu.

Kelihatannya seperti mereka yang melakukan tarian seumpama ini ialah mereka yang sukakan cabaran dan ingin melakukan sesuatu yang luar biasa.

Dalam psikologi, individu seperti ini biasanya dikatakan mempunyai personaliti sanguine.

Mereka yang mempunyai watak ini biasanya gemar bersosial dan kelihatan ceria.

Mereka juga sangat menyukai aktiviti cabaran walaupun ia berisiko.

Bagaimanapun, memandangkan kebanyakan daripada mereka yang melakukan aktiviti penuh risiko ini gemar berkongsi kehebatan mereka dengan orang lain, ada kemungkinan mereka ini mengalami Narcissistic Personality Disorder.

Mereka yang berada dalam kategori ini umumnya berasakan diri mereka unik dan berbeza, ada kehebatan yang tersendiri serta berasa obses untuk menarik perhatian orang lain.

Dalam erti kata lain, mereka sangat obses dengan diri sendiri.

Disebabkan perasaan seumpama itulah, mereka yang melakukan aktiviti berbahaya ini cenderung pula berkongsi aktiviti ‘hebat’ mereka itu di laman sosial.

Ia mungkin bagi memberitahu betapa hebatnya mereka.

Sebenarnya, tidak ada sebarang kesalahan untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang mencabar.

Asalkan ia tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Dalam kes tarian Keke ini, ia bukan sekadar membahayakan pelaku tetapi juga mungkin akan menyebabkan pengguna jalan raya dengan kemalangan.

Malah, ia juga tidaklah merupakan sebarang aktiviti yang boleh dibanggakan.

Berkongsi sesuatu yang hebat yang mampu membangkitkan motivasi peminat atau pengikut di laman sosial mungkin sesuatu yang sewajarnya dihargai.

Bagaimanapun, apabila aktiviti yang dikongsi itu sesuatu yang agak janggal, mudaratnya mungkin lebih teruk daripada apa yang kita jangkakan.

Bayangkan jika peminat atau pengikut media sosial kita ingin membuat hal yang serupa?

Mereka yang terlibat dengan industri hiburan atau perniagaan tertentu mungkin memerlukan aktiviti yang unik seperti ini bagi memastikan nama mereka terus muncul dalam pasaran.

Ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka mempromosi diri.

Bagaimanapun, bagi pengikut yang tidak mempunyai apa-apa untuk dipromosikan, meniru gelagat aneh ini mungkin akan memudaratkan mereka.

Sebenarnya dalam budaya tamadun manusia, terdapat lebih banyak aktiviti mencabar lain yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.

Keberanian

Valeri Polyakov misalnya, seorang angkasawan Rusia ternama pernah berada di angkasa lepas selama dua kali.

Dalam salah satu misinya, beliau tinggal selama lebih daripada 14 bulan dan merupakan orang pertama yang mampu tinggal begitu lama di angkasa lepas.

Tentu sahaja, tidak semua manusia yang ada keberanian sebegitu.

Bagaimanapun, keberanian seumpama itu diperlukan kerana ia membantu pembangunan sains dan teknologi.

Banyak lagi cerita keberanian manusia yang lain, termasuklah yang terbaharu sepasukan penyelam di Thailand yang terpaksa menyelam di celah gua yang sempit untuk menyelamatkan sekumpulan remaja yang hilang.

Walaupun berita kejayaan mereka tersebar ke seluruh dunia, tidaklah pula mereka yang merakamkan apa yang mereka lakukan.

Berita kehebatan mereka dilaporkan orang lain, khususnya wartawan antarabangsa yang membuat liputan.

Dalam kes tarian Keke, tidak ada sebarang kehebatan yang wajar dibanggakan.

Melainkan ia sekadar menimbulkan pertanyaan, sekadar itu sahajakah kehebatan orang kita?