Masing-masing kelihatan teruja menyanyi lagu berkisarkan kesihatan dan pemakanan sihat yang dikendalikan oleh beberapa orang fasilitator.

Itu adalah sebahagian pengisian program Nestle untuk kesihatan kanak-kanak (N4HK).

Ia merupakan sebahagian inisiatif Nestle dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat, kesihatan dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Dalam program berkenaan, murid-murid didedahkan dengan piramid pemakanan dan kepentingan mengambil sumber-sumber nutrien yang terkandung di dalamnya.

Pengarah Eksekutif Perhubungan Korporat Nestle Malaysia, Nirmalah Thurai berkata, program N4HK yang dilancarkan pada Ogos 2010 dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia bertujuan meningkatkan pengetahuan nutrisi dan mempromosikan gaya hidup aktif di kalangan pelajar sekolah rendah dalam seluruh negara.

Tiga fasa

Menurut Nirmalah, program N4HK sudah melalui tiga fasa pelaksanaannya dan setiap daripadanya berjaya mencapai kejayaan.

“Penyelidikan selama tiga tahun pada fasa pertama yang bermula dari tahun 2011 hingga 2013 menunjukkan bahawa skor pengetahuan dalam pemakanan sihat murid-murid meningkat.

“Malah, fasa berkenaan juga berjaya membangunkan modul pendidikan dan penubuhan Jawatankuasa Pakar N4HK yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan terkemuka dari Persatuan Pemakanan Malaysia,” katanya yang ditemui Kosmo! di Sekolah Kebangsaan Brickfields 1, Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Nirmalah, hasil dan modul pendidikan berkenaan telah dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk diguna pakai di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Dalam pada itu, Nirmalah berkata, bengkel Train the Trainer melibatkan 77 buah sekolah menengah telah dianjurkan pada fasa kedua iaitu pada tahun 2014 hingga 2016.

“Seramai 170 orang guru dan warden dari sekolah menengah di Sabah dan Sarawak telah dilatih oleh ahli Jawatankuasa Pakar N4HK mengenai modul pemakanan dan ia menjangkau lebih daripada 5,000 pelajar,” ujarnya.

Dalam memastikan impak yang lebih menyeluruh, Nirmalah memberitahu, modul selama dua jam telah diperkenalkan pada fasa ketiga iaitu bermula tahun 2017.

Menurut Nirmalah, modul berkenaan dikendalikan oleh Pakar Pemakanan dari Persatuan Pemakanan Malaysia. Pada tahun 2018 sahaja N4HK telah menjangkau lebih daripada 12,000 pelajar.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Brickfields 1, Sabariah Shafiee berkata, program N4HK yang julung-julung kalinya berlangsung di sekolah tersebut telah memberikan impak positif kepada murid-murid terlibat.

“Program sebegini amat menarik kerana ia dilaksanakan menerusi aktiviti yang menyeronokkan seperti nyanyian dan kuiz.

“Ia secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman dan pengetahuan baharu kepada murid-murid mengenai kesihatan dan gaya hidup sihat yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Baca nota

Sabariah berkata, pihaknya akan memasukkan salinan nota pemakanan sihat daripada pihak Nestle ke dalam sistem VLE Frog untuk diakses murid-murid sekolah itu.

“Kita akan memasukkan salinan nota pemakanan sihat yang diberikan pihak Nestle ke dalam sistem VLE Frog untuk diakses supaya kesemua murid di sekolah ini mendapat manfaat daripadanya.

“Murid-murid berpeluang untuk membaca nota berkenaan apabila berkelapangan dan ia dapat menambah pengetahuan mereka secara tidak langsung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sabariah berkata, pihaknya juga akan menyediakan ruang pameran berkenaan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran warga sekolah.

Justeru, menurut Sabariah dengan pendekatan sedemikian dapat membuatkan warga sekolah lebih peka dengan keperluan menjaga pemakanan.

“Kita akan mengadakan program sebegini secara berterusan supaya usaha ini tidak terhenti begitu sahaja.

“Ia akan memberikan impak kepada murid-murid dengan pendekatan berbeza dan menyeronokkan sekali gus membuatkan mereka terkesan dengan input yang disampaikan,” ujarnya.