Projek yang memasuki tahun kedua diadakan itu membolehkan pelanggan mereka makan sambil menderma.

Bermula 29 April sehingga 30 Jun ini, pelanggan NY Steak Shack boleh turut serta dalam kempen ini dengan memilih untuk menikmati menu All New Sharing Platters di restoran tersebut.

Pengurus Besar Jenama NY Steak Shack, Muhammad Adam Mah berkata, untuk tahun ini, NY Steak Shack telah memilih Masjid Tun Abdul Aziz (MTAA) di Petaling Jaya, Selangor sebagai penerima dana yang dikumpul melalui kempen tersebut.

Jelasnya, dana itu akan digunakan untuk tujuan menambah baik dan memulihkan infrastruktur masjid.

“Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Bulat dalam kalangan penduduk setempat dan dibina pada tahun 1976.

“Saya sering solat Jumaat di masjid ini. Saya dapati ada beberapa kemudahan yang boleh ditambah baik bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang hadir. Jadi, saya berjumpa dengan pihak masjid dan berbincang tentang bagaimana cara untuk kami membantu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dana masjid

Tambahnya, bersempena dengan sambutan bulan Ramadan ini, kami melaksanakan kempen tersebut bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada masjid tersebut.

Bagi setiap pembelian daripada menu All New Sharing Platters, NY Steak Shack akan menyalurkan RM5 kepada masjid tersebut.

Selain itu, orang ramai boleh juga menderma untuk masjid tersebut dengan memberi sumbangan menerusi tabung derma yang diletakkan di semua rangkaian restoran NY Steak Shack.

Dalam pada itu, Muhammad Adam menjelaskan, sejak kempen Share The Love diperkenalkan tahun lalu, pihaknya amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh pelanggan restoran tersebut.