Antara program yang dirancang ialah sebuah pameran solo bertajuk Menelusuri Karya Seni Norhaiza yang sedang berlangsung di Galeri Reka, BSN, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pameran itu, kuratornya, Muhammad Haikhal Zulkifli berkata, objektif utama BSN memilih untuk menonjolkan karya seni Norhaiza atau nama sebenarnya Norhaiza Noordin ialah untuk mengangkat dan meraikan bakat yang ada pada pengukir kayu yang telah mengabdikan dirinya kepada seni ukiran tradisional Melayu.

“Norhaiza merupakan seorang pereka, pengukir dan ilustrator yang sangat berbakat.

“Beliau tidak pernah belajar ilmu seni ukiran secara formal di mana-mana institusi tetapi telah berguru dengan enam orang pengukir berpengalaman dari Terengganu serta Kelantan seperti Wan Su Othman, Wan Mustapha Wan Su, Long Latiff, Rahman Long, Tengku Ibrahim dan Nik Rashidin Nik Hussin sekitar tahun 1980-an hingga 2000.

“Kesemua pengukir itu merupakan nama-nama besar dalam dunia seni ukiran tradisional Melayu dan Norhaiza merupakan pewaris kepada mereka,” katanya.

Jelas Muhammad Haikhal lagi, selain dikenali sebagai pengukir ukiran kayu halus, Norhaiza juga merupakan seorang ilustrator mahir dalam lukisan teknikal, hiasan dan kontekstual.

Karya peribadi

Malah, pengukir tersohor itu telah mengembangkan karya seninya yang memfokuskan kepada motif seni ukiran Melayu kepada pelbagai medium antaranya cat air dan akrilik.

Justeru, pada pameran solo Norhaiza kali ini, BSN memilih 70 karya peribadi beliau yang terdiri daripada ukiran kayu, dokumen berbentuk kajian berkaitan motif seni ukiran Melayu dan lakaran asal motif serta bentuk ukiran yang dihasilkan oleh pengukir itu.

“Jika dilihat kepada hasil karya yang dipamerkan, Norhaiza sebenarnya bukan sahaja telah mencipta nama sebagai pengukir kayu seni tradisional Melayu tetapi juga berjaya mengubah seni ukiran itu kepada hasil seni kontemporari.

“Sebagai contoh, ada antara hasil motif seni ukiran beliau yang bukan sahaja diukir pada kayu tetapi sebagai lukisan cat air dan akrilik. Ia masih mengekalkan ciri-ciri seni ukiran tradisional Melayu yang tinggi.

“Tidak ramai pengukir yang mempunyai kemahiran ini dan beliau telah membuktikan bahawa seni ukiran Melayu boleh diterjemah dan ditonjolkan dalam pelbagai bentuk serta medium,” katanya.

Dalam pada itu, Norhaiza pula memberitahu, sepanjang menceburi bidang seni ukiran tradisional Melayu, dia banyak mengkaji tentang motif ukiran yang dihasilkan.

Justeru, dia menganggap peluang yang diberikan kepadanya untuk melibatkan diri dalam pameran solo di BSN merupakan satu penghormatan.

“Saya melihat pameran ini sebagai satu platform terbaik untuk menonjolkan seni motif ukiran Melayu kepada pelbagai pihak.

“Malah, saya mahu mereka melihat keindahan seni ukiran tradisional Melayu. Ia tidak dizahirkan dalam bentuk ukiran kayu tetapi boleh dilakukan dalam pelbagai medium seperti pada kanvas, kain dan kertas,” katanya.