Tambahan pula, Dhiya Sarahanna Rosal Azimin, 14, dan enam orang lagi rakannya akan menari bersama duta produk yang juga penyanyi muda tanah air iaitu Khai Bahar serta Nabila Razali pada kempen yang dilancarkan di sekolah mereka.

“Sejujurnya, saya rasa terkejut dan tidak menyangka akan memperoleh peluang itu. Kami hanya berlatih selama dua hari dengan bimbingan dan tunjuk ajar koreografer untuk disesuaikan dengan rentak tarian selebriti jemputan tersebut.

Menerusi kempen itu, pasukan Nivea akan melawat sekolah-sekolah menengah terpilih di bandar utama negara ini dan akan melakukan perkongsian selama 45 minit meliputi aspek kebersihan diri seperti kepentingan penjagaan bawah lengan.

Sementara itu, Marsya Jehana Mohd. Jehan Badlishah, 14, berpendapat, sebagai seorang pelajar, dia tidak memandang mudah aspek kebersihan diri terutamanya pada peringkat awal usia remaja.

Keyakinan

“Biarpun baru berada di tingkatan 2, jadual saya dan kebanyakan pelajar lain agak padat dengan pengisian kegiatan sukan, tuisyen serta aktiviti persatuan.

“Justeru, kebersihan dan kesegaran diri amat penting untuk meningkatkan keyakinan diri dalam pergaulan dan rutin harian.

“Sebenarnya saya merupakan ahli kelab kebudayaan sekolah dan tarian berdurasi kira-kira seminit itu merupakan satu pengalaman baharu yang menyeronokkan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di sekolahnya selepas majlis pelancaran kempen itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan menjelaskan, lagu khas berjudul Langkah Berkeyakinan turut dilancarkan dalam usaha memberi pelajar peluang untuk melibatkan diri pada kempen itu.

Justeru, para pelajar boleh menyertai kempen itu dengan mengambil bahagian dalam pertandingan muzik video bertema Penjagaan Diri Terbaek Nivea serta berkongsi video mereka melalui platform digital seperti Facebook dan Instagram.

“Kami memahami perubahan yang dialami para remaja dan sokongan yang mereka perlukan dalam menempuh fasa tersebut.

“Justeru, kempen itu diharap dapat dijadikan sumber rujukan untuk mereka meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan diri masing-masing.

“Kami turut berharap mereka dapat berkongsi ilmu yang dipelajari bersama pelajar lain agar tabiat penjagaan diri yang baik ini dapat diteruskan sehingga mereka dewasa kelak,” katanya.

Turut hadir pada kempen tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah (Polisi), Bahagian Pengurusan Sekolah, Kementerian Pendidikan, Faridah Yang Razali dan Pengetua SMK Perempuan Sri Aman, Misliah Kulop.