Terbaharu, beliau menampilkan buku siri tiga puteri iaitu Tun Teja, Hang Lipo dan Puteri Gunung Ledang yang mengetengahkan nilai sejarah serta mengangkat kehebatan wanita.

Maslina yang bertugas sebagai guru Pendidikan Seni Visual dan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan, Selangor berkata, beliau sangat menggemari cerita kartun keluaran Disney seperti Frozen. Daripada situ terbitnya idea untuk menghasilkan siri buku tiga puteri ini.

“Saya melihat kisah sejarah puteri kita sangat menarik dan unik. Wataknya juga sangat kuat untuk mengukuhkan jalan cerita.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk menggarap kisah-kisah jelitawan tersebut di dalam buku ini dan diberi nilai tambah dengan lukisan realistik yang menghidupkan watak itu,” ujar anak kelahiran Mersing, Johor itu.

Berpengalaman sebagai ilustrator selama 26 tahun menjadikan setiap lukisan yang dihasilkan begitu indah dan sangat terperinci seperti pakaian, aksesori serta suasana persekitaran yang membawa kita kembali ke zaman silam.

Rasa sayang

Menurut Maslina, beliau melakukan penelitian dan kajian menerusi buku-buku sejarah, melihat koleksi di muzium serta filem untuk menghasilkan corak baju dan aksesori yang dipakai oleh puteri-puteri tersebut.

Sebagai contoh, rekaan baju serta aksesori yang dipakai oleh Hang Li Po dilukis berdasarkan pakaian puteri pada zaman Dinasti Ming kerana Hang Li Po merupakan puteri pada zaman itu.

Di samping menyajikan keindahan lukisan, Maslina juga ingin menyuntik rasa sayang kepada sejarah kita yang sangat hebat dan smempunyai nilai-nilai pengajaran.

“Anak muda yang tahu susur galur sejarah nenek moyang kita akan terbit rasa sayang kepada bangsa dan negara.

“Justeru, bahan bacaan perlu lebih bersifat menghiburkan terutamanya untuk buku kanak-kanak agar mereka tidak berasa bosan,” jelasnya yang sangat meminati sejarah.

Selain itu, buku siri tiga puteri ini juga tidak ketinggalan memuatkan nilai-nilai moral seperti menyayangi haiwan dan hutan yang ditunjukkan oleh Puteri Gunung Ledang iaitu selaku penjaga gunung tersebut.

Bercerita lanjut dalam penghasilan karya terbaharunya ini, Maslina berkata, beliau mengambil masa selama setahun setengah untuk menyiapkan ketiga-tiga buku tersebut.

Penghasilan buku ini mempunyai cabaran yang tersendiri iaitu untuk menghasilkan lakaran yang tampak realistik dengan perincian pada corak baju serta aksesori.

“Sudah sebati dalam minda kita tentang watak Puteri Gunung Ledang yang sangat matang dan ia memberi kesukaran kepada saya untuk melukis wataknya agar kelihatan ‘kanak-kanak’.

“Justeru, saya memasukkan ilustrasi haiwan untuk memberi suntikan ‘kanak-kanak’ ke dalam wataknya,” tutur ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tambahnya, beliau juga perlu menyemak fakta sejarah agar apa yang diceritakan itu tidak lari daripada kisah sebenar.

Keistimewaan buku ini ialah ia dihasilkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati keindahan cerita tersebut.

Pada bahagian atas diceritakan dalam bahasa Inggeris dan di bawahnya pula diterangkan dalam bahasa Melayu.

Walaupun karya ini merupakan kategori buku kanak-kanak, ia sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan umur.

Tidak hanya terhenti di sini, Maslina bercadang untuk meneruskan siri puteri tersebut dengan mengangkat kisah-kisah srikandi Melayu yang lain seperti Che Siti Wan Kembang dan Tun Fatimah.