Apa yang berubah hanyalah sekadar watak dan tempat, namun secara umumnya ia berakhir dengan senario yang menyayat hati.

Bayangkan betapa bayi yang hanya berusia beberapa tahun telah dipukul atau menjadi mangsa seksual penjaganya.

Kisah ini, pastilah akan berulang lagi selagi orang dewasa tidak memahami peranannya sebagai penjaga.

Secara umumnya anak-anak yang didera ini dapat dikesan sama ada salah satu tanda atau ketiga-tiga perkara berikut iaitu penderaan seksual, fizikal dan psikologikal.

Tanda-tanda ini pula sebenarnya dapat dilihat dengan perubahan atau kecederaan tertentu pada tubuh badan mereka.

Bagaimanapun, dalam keadaan yang lain, ibu bapa juga sebenarnya mampu melihat perubahan ‘watak’ anak mereka dengan mengetahui sedikit sebanyak hukum mengenai lekatan yang selalunya dikaitkan dalam proses interaksi orang dewasa dan kanak-kanak.

Hubungan di antara bayi dan orang dewasa ini selalunya dikaitkan dengan tiga jenis lekatan utama iaitu rasa selamat, kebimbangan dan penghindaran.

Hubungan di antara orang dewasa yang bertindak sebagai penjaga dengan bayi sebenarnya sudah mula dikesan sejak beberapa bulan kelahiran.

Sebab itulah, kita akan melihat bayi menangis apabila ditinggalkan ibu bapa, manakala akan tersenyum girang apabila melihat ibu bapa di hadapan mereka.

Secara logiknya bayi yang baru berusia beberapa bulan mungkin tidak mengenal sesiapa pun.

Hakikatnya tidaklah begitu.

Mereka sebenarnya sudah mengetahui siapakah penjaga dan siapa pula yang memberikan ancaman kepada mereka.

Setiap bayi akan merasakan ada orang tertentu, khususnya ibu bapa atau keluarga terdekat yang akan memberikan mereka rasa selamat.

Sebab itulah, apabila orang terdekat yang selalu menjaga mereka tiada di sisi, mereka akan mula menunjukkan reaksi kegelisahan, khususnya mengungkapkannya dengan menangis.

Apabila mereka dibelai, tangisan tadi akan reda.

Lekatan kebimbangan pula ialah mereka akan selalu menunjukkan rasa kebimbangan sekiranya penjaga yang mereka perlukan tidak ada bersama mereka.

Bagaimanapun, kita selalu melihat ada bayi yang mampu bertahan agak lama walaupun ditinggalkan sendiri, sebaliknya ada pula yang akan memerlukan penjaganya akan tetap berada di sini mereka sepanjang masa.

Semua ini menunjukkan sejauh mana kuatnya lekatan kebimbangan tadi.

Akhirnya, sekiranya bayi tadi diabaikan atau tidak diberikan layanan sebagaimana yang diperlukan, bayi ini kemudiannya akan mula menggunakan kaedah sendiri untuk membentuk mekanisme berdikari mereka.

Mereka mula menyedari sama ada mereka menunjukkan reaksi atau tidak ada sesiapa yang akan memberikan mereka layanan.

Sebab itulah, ada anak-anak yang tidak menunjukkan sebarang reaksi emosi sekalipun ada orang yang cuba bermanja dengan mereka.

Ada pula yang mungkin akan menunjukkan reaksi menangis tanpa henti.

Emosi

Dengan cara ini, mereka mula mengurangkan reaksi emosi dalam interaksi mereka dengan orang lain.

Emosi dianggap bukan lagi sesuatu yang penting.

Memahami ketiga-tiga sifat lekatan ini bukan sekadar memahamkan kita betapa bayi sebenarnya ialah manusia yang berperasaan, tetapi juga membantu kita mengetahui apakah sebenarnya peranan orang dewasa.

Kita semua mungkin tidak mampu mengimbas semula perasaan kita ketika kita masih bayi.

Bagaimanapun, pastilah kita semua yang pernah melalui zaman anak-anak dan remaja dapat merasakan betapa kita merasa ragu-ragu apabila kita berjalan secara bersendirian.

Kita akan merasa lebih kuat sebaik sahaja ada ahli keluarga bersama.

Semua ini adalah konsep lekatan.

Sebaliknya, jika kita mempunyai keluarga yang bermasalah, kita mungkin bersifat terbalik.

Misalnya, kita merasa tidak selamat apabila ada keluarga bersama, tetapi merasa lebih selesa hidup bersendirian.

Memahami konsep lekatan ini juga sebenarnya membolehkan ibu bapa dapat menilai peri laku pengasuh yang menjaga anak-anak kita.

Ada anak-anak yang sangat girang untuk dihantar ke rumah pengasuh, sebaliknya ada yang memberontak atau berasa cemas sebaik sahaja sampai ke depan pintu pusat jagaan.

Dalam kes seumpama ini, ia berlaku dalam tiga keadaan.

Pertamanya, anak-anak tadi mungkin merasa tidak selamat ditinggalkan ibu bapanya.

Keduanya, mereka mungkin sedang mengalami perasaan kebimbangan ditinggalkan.

Jika penolakan itu sangat kuat, mereka sebenarnya mungkin mengalami perasaan penghindaran.

Dalam kata yang lain, mereka sedang menolak untuk masuk ke tempat atau dijaga oleh seseorang yang dirasakan sebagai ancaman kepada bayi tadi.

Penjaga tadi mungkin telah melakukan sesuatu yang buruk yang menyebabkan bayi ini merasa mereka perlu sedaya upaya mengelak daripada bertemu dengan seseorang yang mengancam mereka.

Begitu jugalah jika ada bayi yang sebelum ini mungkin bersifat riang, sebaliknya bertukar sebagai seseorang yang tidak ada emosi, atau kelihatannya tidak gembira, mereka juga mungkin telah didera.