Senario sebegini berlaku disebabkan oleh penglibatan generasi muda dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat di negara ini.

Antara isu yang seringkali melibatkan generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar ialah ponteng sekolah, menghisap rokok, vendalisme, tidak menghormati guru dan sebagainya.

Pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) amat memandang serius terhadap isu ini.

Sehubungan itu, KPM di bawah kepimpinan Dr. Maszlee Malik sebagai menterinya telah memperkenalkan tiga nilai utama untuk diamalkan khususnya dalam kalangan pelajar di negara ini.

Tiga nilai utama yang diperkenalkan ialah kasih sayang (love), kegembiraan (happiness) dan hormat-menghormati (mutual respect).

Kesemua nilai ini jika berjaya diamal dan dibudayakan oleh golongan muda terutamanya dalam kalangan pelajar pastinya kecemerlangan dan kemakmuran negara dikecapi sehingga kini mampu diteruskan pada masa akan datang dengan lebih cemerlang.

Kasih sayang

Nilai kasih sayang merupakan tiang seri kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat daripada pelbagai kaum dan keturunan, nilai kasih sayang ini wajar diterapkan kepada masyarakat di negara ini seawal mungkin.

Pendidikan di peringkat rendah merupakan masa yang sangat sesuai untuk diterapkan nilai ini dalam kalangan pelajar.

Ini kerana dalam usia muda, golongan pelajar lebih mudah untuk menerima nilai dan pandangan untuk diamalkan apabila meningkat dewasa kelak.

Untuk mencapai matlamat tersebut, pihak sekolah boleh melaksanakan pelbagai kaedah seperti melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan juga persatuan pelajar.

Aktiviti-aktiviti yang berteraskan kasih sayang boleh dilaksanakan melalui platform tersebut.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah sambutan perayaan, kebudayaan dan lawatan ke rumah anak-anak yatim ataupun rumah orang tua.

Melalui aktiviti seperti ini, nilai kasih sayang akan mampu dipraktikkan oleh setiap pelajar tanpa disedari oleh mereka.

Pendedahan dan amalan kepada aktiviti sebegini dalam jangka waktu yang berterusan mampu untuk melahirkan generasi akan datang dengan nilai kasih sayang dalam diri masing-masing.

Kegembiraan

Kegembiraan merupakan salah satu daripada elemen utama yang mampu untuk meningkatkan kualiti kerja dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Oleh yang demikian, inisiatif perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di negara ini terutamanya dalam kalangan pelajar mampu memiliki nilai kegembiraan dalam kehidupan seharian mereka.

Nilai kegembiraan yang berjaya disemai di peringkat sekolah mampu untuk melahirkan generasi yang menghargai kasih sayang.

Antara kaedah yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah untuk menanamkan kepentingan nilai kegembiraan ini adalah melalui pengiktirafan dan pemberian hadiah kepada pelajar yang berjaya melakukan sesuatu dengan baik walaupun kadangkala, perkara yang dilakukan itu tidak begitu signifikan kepada diri ataupun masyarakat seperti membuang sampah dalam tong sampah, membantu guru dan sebagainya.

Penghargaan dan pengiktirafan yang sedemikian mampu untuk menimbulkan perasaan gembira dalam kalangan pelajar yang terlibat.

Amalan seperti ini apabila dilakukan secara berterusan akan meningkatkan kesan yang mendalam dalam kalangan pelajar seterusnya akan menjadikan nilai kegembiraan ini sebagai budaya dan amalan kehidupan seharian mereka di masa hadapan

Hormat-menghormati

Sifat hormat-menghormati dapat direalisasikan dalam sesebuah masyarakat apabila ahli masyarakat yang terlibat mempunyai nilai kasih sayang dan rasa gembira untuk bersama-sama dalam masyarakat yang terlibat.

Nilai hormat-menghormati ini amat penting dalam masyarakat kerana Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum dan bangsa.

Dengan adanya nilai hormat-menghormati ini, seluruh masyarakat Malaysia mampu hidup dan bermain bersama dalam keadaan yang sangat harmoni dan sejahtera, walaupun setiap daripada mereka mempunyai latar belakang yang amat berbeza.

Rumusan

Generasi pelajar pada hari ini adalah waris kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

Generasi pelajar yang mempunyai nilai dan akhlak yang terpuji akan menjanjikan kualiti kepimpinan negara di masa akan datang yang lebih cemerlang.

Oleh yang demikian, tindakan untuk membudayakan serta mengamalkan tiga nilai utama tersebut bermula daripada sekolah rendah lagi merupakan satu tindakan yang amat bertepatan.

Adalah diharapkan usaha yang sebegini mampu melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti seterusnya memberi jaminan kepada kualiti kepimpinan negara di masa hadapan yang lebih cemerlang.