“Pemilihan jenis kayu yang sesuai penting untuk menghasilkan kraf hiasan kayu yang bermutu,” katanya.

Azizul Ahmad, 45, akhirnya memilih kayu jati berukuran kira-kira 25 sentimeter panjang dan lebar. Tanpa berlengah, dia dengan penuh berhati-hati mula mengukir motif ombak pada kayu berkenaan.

“Bukan semua kayu boleh digunakan untuk buat kraf hiasan kayu. Bagi produk dalaman, kayu yang sesuai digunakan untuk ukiran adalah jati, angsana dan cengal.

“Kayu balau pula untuk produk luaran kerana mempunyai ketahanan yang kuat. Selain faktor ini, nilai komersial seperti warna dan urat kayu turut mempengaruhi pemilihan kayu,” katanya.

Azizul melakukan kerja-kerja itu di bengkelnya di Kelibang, Pulau Langkawi, Kedah semasa Lawatan Industri Perkayuan anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada 24 hingga 27 September lalu.

Bagaimanapun, Azizul terpaksa menghentikan proses ukiran tersebut kerana terdapat masalah pada mata pahat yang digunakannya.

“Mata pahat ini tidak tajam, jadi apabila kita buat ukiran, ia tidak cantik dan hasilnya kasar. Kualiti kehalusan seni kraf ukiran kayu sangat dipentingkan apatah lagi saya sedang siapkan tempahan papan tanda untuk hotel bertaraf lima bintang.

“Ramai yang menyangkakan asah mata pahat ini senang macam asah pisau tetapi sebenarnya ia agak sukar dan mempunyai teknik tertentu. Saya ambil masa selama tiga bulan untuk belajar cara asah mata pahat sahaja,” kata Azizul yang dilahir dan dibesarkan di Langkawi.

Berkecimpung selama 20 tahun dalam dunia kraf kreatif, Azizul adalah antara pengukir kayu negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Hasil seni pemilik syarikat Idea Craft Wood Enterprise itu sentiasa menjadi buruan dalam kalangan pencinta kraf hiasan kayu.

Menariknya, pelanggan anak jati pulau legenda Mahsuri itu bukan sahaja meliputi orang biasa, individu kenamaan bahkan turut menambat hati banyak hotel ternama di Langkawi yang mahukan produknya menghiasi ruang perniagaan mereka.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dalam kalangan hotel dan syarikat korporat. Boleh dikatakan, lebih 10 hotel ternama Langkawi pernah menggunakan perkhidmatan saya untuk mengukir papan tanda, kotak hiasan dalam bilik, tempat letak sabun dan sebagainya.

“Disebabkan itu, saya amat pentingkan kualiti dan ia bermula daripada perkara paling asas iaitu mata pahat. Ramai orang salah faham menyangkakan kualiti kraf kayu hanya terletak kepada pemilihan kayu semata-mata,” katanya.

Teknik asahan

Menurut Azizul, proses mengasah mata pahat merupakan perkara paling penting yang diajar ketika dia mempelajari kemahiran ukiran kayu di Sekolah Tinggi Seni Indonesia (STSI), Bali, semasa menuntut di sana selama setahun.

Ini kerana kesilapan mengasah mata pahat bukan sahaja ‘mencacatkan’ kualiti produk kayu yang dihasilkan, bahkan juga mudah merosakkan peralatan paling utama bagi pengukir kayu itu.

“Mata pahat mudah rosak dan boleh patah apabila salah teknik asah. Teruklah kalau asyik hendak beli kerana pahat sahaja ada 45 jenis.

“Kebanyakan mata pahat ini bentuknya lengkung dan semua sudut perlu diasah. Bukan mudah tapi caranya adalah dengan membentuk satu corak pada batu yang kemudiannya akan diasah menggunakan teknik tertentu,” katanya.

Mendengar cerita mengenai cara kerja yang begitu teliti serta mementingkan kualiti dalam penghasilan produk, maka tidak menghairankan apabila dia mampu bertahan lebih satu dekad dalam bidang yang diceburinya itu.

Apatah lagi, bukan mudah untuk mendapat kepercayaan hotel ternama dan syarikat korporat menggunakan kepakaran pengukir tempatan berikutan persaingan hebat dalam kalangan pengukir dari negara jiran seperti Indonesia.

Menurut Azizul, dia bukan dilahirkan dalam keluarga pengukir, justeru pencapaiannya sudah tentu membanggakan. Dia bermula dari ‘kosong’ dan ‘bertatih’ sendirian menerokai bidang itu setelah tamat belajar di Indonesia.

Keunikan ukirannya terletak pada motif yang digunakan iaitu moden kontemporari alam semula jadi yang terdapat di sekitar Langkawi untuk dijadikan identiti produk kayu miliknya.

“Motif yang selalu saya gunakan adalah awan, gelombang, arus laut, akar, ranting dan daun. Saya jarang guna corak bunga kerana ingin menampilkan ukiran lain dan bukan tradisional.

“Motif saya mudah. Saya tidak mahu terlalu padat seperti penuh kerawang pada produk kraf yang dihasilkan kerana pelancong antarabangsa suka corak moden kontemporari disebabkan ia lebih segar,” katanya.

Antara produk kraf tangan yang dihasilkannya adalah bingkai dinding atau pintu untuk perhiasan rumah, bingkai cermin, tempat letak lilin, rantai kunci, fridge magnet dan jubin kayu. Harga produk berkenaan boleh mencecah ribuan ringgit.

Menurut Azizul, produknya mula menarik perhatian pelancong antarabangsa apabila turut dipasarkan di kedai cenderamata hotel ternama selain menyertai pelbagai pameran industri kayu mahupun kraf.

“Saya pernah menghantar produk kraf tangan saya ke Perancis, Belanda, Jepun, Singapura dan Korea. Tidak dinafikan, pendapatan sebagai pengukir kayu ini boleh menjanjikan kehidupan selesa. Yang penting, kena rajin, disiplin dan tidak mudah putus asa,” katanya. – Bernama